Sunday, August 16, 2009

Umno: Peluang tunjuk 3 mesej 'protes keras' buat Pakatan


SEBERANG PRAI: Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang mahu pengundi-pengundi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir menggunakan peluang pilihan raya kecil kali ini, yang bermula esok, untuk menyampaikan mesej protes yang keras kepada ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Othman berharap pengundi DUN Permatang Pasir akan menggunakan pilihan raya kecil ini sebagai "satu peluang menyampaikan mesej tidak senang hati" kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelatan; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dengan mengundi calon BN (Rohaizat Othman) orang-orang Melayu boleh memberi isyarat bahawa Nik Aziz tidak boleh membenarkan orang-orang bukan Melayu boleh menghina agama Islam.

"Kira-kira 73 peratus pengundi di kawasan Permatang Pasir merupakan orang Melayu, orang Islam... ini peluang yang baik untuk memberitahu Nik Aziz bahawa orang bukan Melayu tidak boleh menghina agama Islam dan beliau tidak harus memberi lesen kepada orang lain untuk menghina Islam," kata beliau ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Permatang Pauh di Politeknik Seberang Perai dekat sini pagi tadi.

Kata beliau, apabila jumlah undi kepada BN meningkat kali ini ia akan memberikan isyarat yang jelas bahawa masyarakat beragama Islam tidak berpuas hati dengan tindak tanduk Nik Aziz.

Hari mengundi pilihan raya kecil ialah pada 25 Ogos. Ia diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman pada 31 Julai lalu.

No comments:

Post a Comment