Thursday, August 27, 2009

BN tidak patah semangat

Barisan Nasional tidak patah semangat


Muhyiddin Yassin bersama Zahid Hamidi pada sidang akhbar mengenai keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir di Bukit Mertajam, malam tadi.


BUKIT MERTAJAM 25 Ogos - Keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir tidak akan mematahkan semangat Barisan Nasional (BN) untuk terus bekerja keras melakukan yang terbaik bagi meraih sokongan rakyat.

Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN menerima keputusan pengundi di kawasan itu dengan hati yang terbuka atas semangat amalan demokrasi.

''Kita anggap ini sebagai satu takdir dan berlapang dada menerima keputusan dengan hati yang terbuka.

''Bagaimanapun, kita akan terus bekerja dan lakukan yang terbaik selepas ini," katanya kepada pemberita di Pusat Operasi BN di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan pilihan raya kecil itu yang menyaksikan calon Pas, Mohd. Salleh Man menang dengan majoriti 4,551 menewaskan calon BN, Rohaizat Ismail.

Salleh Man yang juga Pesuruhjaya Pas negeri memperolehi 9,618 undi manakala Rohaizat, Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh mendapat 5,067 undi.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, keputusan pilihan raya kecil itu menunjukkan penduduk di Permatang Pasir tidak mahukan perubahan yang cuba dibawa BN ke kawasan tersebut.

Sehubungan itu katanya, tidak wajar untuk menyalahkan mana-mana pihak atas kekalahan BN di dalam pilihan raya kecil itu.

''Saya fikir jentera kita adalah yang paling kemas tetapi nampaknya inilah yang penduduk Permatang Pasir mahukan, jadi kita kenalah terima.

''Penduduk memberi mesej bahawa mereka tidak mahukan perubahan, jadi kita jangan salahkan calon, jangan juga salahkan jentera," ujarnya.

Ditanya sama ada jentera BN menerima kerjasama sepenuhnya daripada parti komponen dan UMNO di peringkat bahagian, Ahmad Zahid berkata, secara keseluruhannya prestasi jentera BN sangat memuaskan.

''Begitu juga (kerjasama daripada UMNO) di peringkat bahagian, tapi nampaknya yang di bawah tidak mahukan perubahan, jadi kena terima ini sebagai satu hakikat cara mereka berpolitik," jelasnya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, BN perlu optimis untuk mendapatkan sokongan daripada penduduk di kawasan itu pada masa depan walaupun ia merupakan kubu kuat pembangkang.

BN kata beliau, akan tetap memberikan cabaran sengit kepada pembangkan dalam mana-mana pilihan raya akan datang berdasarkan prinsip untuk membawa perubahan kepada nasib rakyat.

''Dalam pilihan raya ini misalnya, kita (BN) memperolehi lebih 5,000 undi dan bagi saya jumlah ini bukan kecil kerana kita bertanding di kawasan kubu kuat mereka.

''Apa yang penting kita kena pastikan pengundi yang menyokong akan terus bersama-sama kita dan bersedia memberi cabaran kepada mereka (pembangkang) pada masa akan datang," ujarnya.

No comments:

Post a Comment