BUKIT MERTAJAM 25 Ogos - Timbalan Perdana Menteri mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggerakkan proses pemutihan daftar pemilih untuk mengelakkan wujudnya pengundi hantu seperti yang heboh diperkatakan pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di sini.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dakwaan Pemuda UMNO wujudnya lebih 3,000 pengundi hantu di DUN tersebut dibuat berdasarkan pemantauan dari rumah ke rumah untuk meneliti senarai daftar pemilih.
Beliau berkata, walaupun SPR menafikan wujudnya pengundi hantu, mereka (pengundi hantu) sebenarnya tidak menetap di alamat yang didaftarkan dan orang yang menetap di alamat berkenaan juga mungkin tidak mengetahui bahawa tempat dan alamatnya digunakan oleh orang lain.
"Mungkin di pihak SPR mereka kata nama-nama itu telah didaftar dan nama-nama itu sah sebagai pemilih tetapi sama ada mereka balik atau tidak pada hari ini untuk mengundi itu kita kurang pasti," katanya pada sidang akhbar selepas melawat pusat-pusat pembuangan undi bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir di sini, hari ini.
Muhyiddin juga berkata, UMNO juga boleh memainkan peranan dalam proses pemutihan daftar pemilih yang bakal dilakukan oleh SPR.
"Apabila SPR menjalankan proses daftar pemilih yang baru pada tahun-tahun akan datang, sebelum diwartakan ia akan dipamerkan dan dimaklumkan waktu bantahan.
"Saya percaya waktu itu sesuai untuk kita semak balik perkara tersebut seterusnya pada waktu bantahan itu kita boleh buat bantahan secara rasmi dan kemukakan maklumat yang kumpul termasuk nama-nama tertentu tidak sepatutnya berada di situ," katanya.
Menurutnya, SPR perlu mengambil langkah sewajarnya dalam proses pemutihan tersebut dan UMNO akan memberikan segala kerjasama yang diperlukan.
Mengulas proses pengundian di Permatang Pasr yang dikatakan berjalan lebih lancar tanpa banyak provokasi berbanding di Manek Urai, Timbalan Perdana Menteri berkata, ia adalah disebabkan SPR menguatkuasakan peraturan larangan berkempen secara menyeluruh pada hari mengundi.
"Kita tahu larangan kempen pada hari mengundi memang ada tetapi di Manek Urai timbul aspek penguatkuasaan kerana terdapat insiden ahli Puteri UMNO diperlakukan sedemikian rupa hingga terpaksa menerima rawatan di hospital," katanya.
Menurut beliau, disebabkan ia adalah arahan SPR semua parti yang bertanding seharusnya akur dan SPR mungkin boleh memberi taklimat terperinci mengenainya.
"Orang Pas juga jangan cuba halang penyokong BN keluar mengundi terutamanya di kawasan-kawasan yang diketahui mempunyai ramai penyokong BN. Ada kalanya mereka berkumpul dan menghalang laluan ke pusat membuang undi," katanya.
No comments:
Post a Comment