|
|
PUTRAJAYA 10 Ogos - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang pada 17 Ogos ini manakala hari pengundian pada 25 Ogos.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, penetapan tarikh pilihan raya kecil itu yang jatuh pada bulan Ramadan iaitu hari Selasa adalah tidak dapat dielakkan.
''Kita membuat penentuan dengan lebih cepat kerana kita akan hadapi bulan puasa, selepas itu Hari Raya Aidilfitri sedangkan tarikh akhir kita adalah 29 September.
''Kita hendak selesaikan segera dalam bulan puasa, lagi pun pada masa itu adalah cuti sekolah,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama anggota suruhanjaya itu di sini hari ini.
Pilihan Raya Kecil N11 itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman akibat sakit jantung pada 31 Julai lalu.
Sebelum ini pilihan raya kecil pernah diadakan pada bulan puasa iaitu di DUN Lunas pada 2000 selain pilihan raya negeri Sabah pada 1994.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Allahyarham Mohd. Hamdan mengekalkan penguasaan satu-satunya kerusi DUN yang diwakili Pas apabila menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.
Allahyarham menyandang kerusi tersebut selama tiga penggal berturut-turut sejak 1999.
DUN Permatang Pasir berada dalam Parlimen Permatang Pauh.
Menurut Abdul Aziz, SPR mengeluarkan writ pilihan raya kecil tersebut pada hari ini manakala notis dikeluarkan esok.
Sehubungan itu, katanya, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Roslan Yahaya dilantik sebagai Pegawai Pengurus pilihan raya kecil itu manakala tiga orang Ketua Penolong Pegawai Daerah SPT, Kamarul Haizal Koderat, Hisan Abu Bakar dan Masirah Che Ani masing-masing sebagai Penolong Pegawai Pengurus.
Beliau berkata, bagi melaksanakan pilihan raya kecil itu, SPR akan mengguna pakai Daftar Pemilih Induk 2008 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Pertama 2009 yang dikemas kini pada 31 Julai lalu.
Katanya, daftar pemilih itu mengandungi 20,290 pengundi terdiri daripada 20,289 pemilih biasa dan satu pengundi pos.
Ini katanya melibatkan sebanyak 72.36 peratus pengundi Melayu; Cina (25.85 peratus); India (1.63 peratus) dan lain-lain (0.16 peratus).
Abdul Aziz berkata, SPR telah menetapkan proses penamaan calon dan pusat penjumlahan undi diadakan di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam manakala proses pengeluaran dan pengiraan undi pos di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah.
Jelas beliau, sebanyak lapan buah pusat pengundian iaitu lapan buah sekolah membabitkan 39 saluran akan dibuka pada hari pengundian.
Katanya, SPR memperuntukkan sejumlah RM550,000 bagi menjalankan pilihan raya kecil itu dengan menempatkan sebanyak 423 orang petugas terlatih.
''Daftar pemilih bagi bahagian pilihan raya itu akan mula dijual pada 14 Ogos ini. Para pengundi boleh membuat semakan melalui laman web www.spr.gov.my, khidmat pesanan ringkas (SMS) SPR atau menghubungi Ibu Pejabat SPR di Putrajaya atau Pulau Pinang,'' katanya.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata, berikutan bulan puasa, pengumuman rasmi keputusan pilihan kecil itu akan dibuat pada pukul 8 malam tanpa perlu menunggu sama ada calon yang menang hadir atau sebaliknya.
''Apabila sudah ada keputusan muktamad dan tiada masalah lain, kita akan umumkan tepat pada pukul 8 malam, lagi pun undang-undang tidak menyebut kita perlu tunggu calon atau ejennya hadir.
''Ini kerana kita hendak memberikan peluang kepada umat Islam pergi ke masjid dan surau bagi menunaikan solat Isyak dan solat sunat Tarawih,'' katanya.
No comments:
Post a Comment