Tuesday, August 11, 2009

BN bincang pilihan raya


KUALA LUMPUR 10 Ogos – Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini membincangkan persiapan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos ini.

Mesyuarat hampir dua jam dipengerusikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak itu turut mendengar laporan semasa mengenai DUN berkenaan.

Ia dibentangkan Pengarah Pilihan Raya BN bagi kerusi tersebut, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap pada sidang akhbar kemudiannya, Najib berkata, semua parti komponen memberi perakuan akan bekerjasama sebagai satu pasukan bagi menghadapi pilihan raya tersebut.

Menurut Perdana Menteri, mesyuarat hari ini turut membincangkan tentang langkah memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti komponen bagi memastikan jentera parti dapat bergerak dengan lebih selaras.

“Tentang soal calon, kita akan umumkan dalam sedikit masa lagi setelah kita dapat tahu tarikh pilihan raya yang diumumkan SPR hari ini.

“Mudah-mudahan calon kita akan diterima oleh pengundi tempatan dalam kawasan DUN Permatang Pasir,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Ditanya mengenai UMNO Bahagian Bukit Mertajam yang menolak cadangan pindaan perlembagaan parti, Najib berkata, UMNO dalam hal ini bersikap terbuka kepada sebarang pandangan.

Katanya, sama ada pindaan perlembagaan dilakukan atau tidak, ia hanya akan diputuskan pada Perhimpunan Agung Khas yang dijadualkan Oktober ini.

“Bukan satu bahagian saja (yang menentukan) tetapi kesemua bahagian yang akan memutuskan perkara ini,” jelasnya yang juga Presiden UMNO.

No comments:

Post a Comment