Monday, August 17, 2009

Satu lawan Satu di Permatang Pasir


BUKIT MERTAJAM, 17 Ogos (Bernama) -- Pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam di Jalan Berapit, di sini mula dibuka pada pukul 9 pada hari Isnin.

Calon Barisan Nasional (BN) Rohaizat Othman tiba di pusat penamaan calon itu pada pukul 8.45 pagi diriingi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin-pemimpin parti komponen BN.

Calon PAS Mohd Salleh Man Mat Aji pula tiba 15 minit sebelum itu dengan diringi pemimpin parti termasuk timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa serta dua naib presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Seawal pukul 7 pagi, laluan masuk ke pusat penamaan calon itu mula dibanjiri lebih 7,000 penyokong parti bertanding untuk memberikan sokongan kepada calon masing-masing.

Kumpulan penyokong yang membawa sepanduk dan bendera parti masing-masing, diasingkan pada jarak 100 meter antara satu sama lain di luar pagar Dewan Perdana itu bagi memastikan keadaan keselamatan terkawal.

Selain petugas pilihan raya, pasukan polis dilihat berkawal di sekitar kawasan pusat penamaan calon itu untuk memastikan proses hari ini berjalan lancar.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dari PAS pada 31 Julai lepas di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur kerana sakit jantung.

Berikutan kekosongan kerusi itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini untuk penamaan calon dan 25 Ogos sebagai hari pengundian jika ada pertandingan.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohd Hamdan memenangi kerusi itu buat kali ketiga setelah memperolehi 11,004 undi mengalahkan Ahmad Sahar Shuib dari BN dengan majoriti 5,433 undi.

DUN Permatang Pasir mempunyai 20,290 pengundi termasuk seorang pengundi pos yang akan mengundi di lapan pusat mengundi di kawasan berkenaan.

Daripada jumlah itu, 14,677 pengundi (72.34 peratus) ialah Melayu, 5,248 (25.86 peratus) Cina, 332 (1.64 peratus) India dan 33 (0.16 peratus) bangsa lain.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment