Monday, August 17, 2009

Dakwaan dan tuduhan dari PAS tidak melibatkan Calon BN

Dakwaan pembangkang wujudnya salah guna wang Koperasi Pekebun-pekebun Kecil Getah Pulau Pinang, yang hendak dibangkitkan semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, tidak melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman.

Menjelaskan perkara ini kira-kira 14 jam sebelum penamaan calon pilihan raya kecil esok, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Rohaizat, 38, tidak hilang kelayakan untuk bertanding dan akan membawa cabaran BN.

"... oleh yang demikian Rohaizat adalah layak untuk bertanding sebagai calon BN, dalam penamaan calon esok," kata Pengerusi Umno Pulau Pinang itu pada sidang media di bilik gerakan sepusat BN di Bukit Merah dekat sini hari ini.

Terdahulu beliau menjelaskan isu berkenaan kepada ahli-ahli jawatankuasa empat peringkat Umno selama lebih sejam yang bermula 6 petang tadi.

"Saya telah menjelaskan terhadap isu yang mengatakan bahawa Saudara Rohaizat telah hilang kelayakan kerana beliau telah dikeluarkan dari senarai peguam yang boleh mengamalkan firma guamannya.

"Dari penjelasan yang diberikan oleh penasihat undang-undang bahawa pihak Koperasi Pekebun-pekebun Kecil Getah Pulau Pinang, yang diperjelaskan oleh Bendaharinya, Tuan Haji Omar (Hamid), pembayaran terhadap wang yang dipegang oleh syarikat guaman Saudara Rohaizat telah pun diselesaikan lama dahulu.

"Oleh yang demikian, mereka juga telah lama menarik balik laporan yang dibuat terhadap penggunaan wang pelanggan oleh firma guaman Saudara Rohaizat, di mana yang melakukan perbuatan itu bukanlah saudara Rohaizat tetapi bekas rakan kongsinya... di mana perkara ini telah pun diselesaikan," katanya.

Omar ketika ditemui mengesahkan beliau hadir pada pertemuan lebih sejam untuk menjelaskan kedudukan semasa.

Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata, perkara itu didakwa berlaku tahun 2000 dan kes tersebut telah ditarik balik tiga tahun kemudian.

Pagi tadi, Rohaizat memberitahu, beliau sudah bersedia untuk menyangkal apa jua tuduhan yang bakal dibawa Pakatan Rakyat, yang diwakili PAS, semasa kempen pilihan raya kecil kali ini.

"Saya sudah bersedia (untuk menghadapi) dan sedar bahawa mereka akan menggunakan serangan peribadi (ketika kempen)," kata beliau ketika ditemui selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Permatang Pauh di Politeknik Seberang Perai.

GEMBIRA... Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama calon BN, Rohaizat Othman (kiri) dan Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid (kanan sekali) pada sidang media selepas pertemuan lebih sejam bersama ahli jawatankuasa empat peringkat Umno bahagian itu di bilik gerakan sepusat BN di Bukit Merah, Permatang Pasir petang tadi.

ISU PENTING - PAS

Malam tadi ketika ditemui mStar Online di Sungai Dua dekat sini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya mempunyai "satu isu penting yang akan digunakan" dalam kempen kali ini.

Isu tersebut berkaitan dengan calon BN, kata beliau tanpa mengulas lanjut.

Bagaimanapun jelas beliau, isu tersebut hanya akan digunakan jika keadaan memerlukan mereka berbuat demikian.

MASIH LAYAK BERTANDING

Zahid menjelaskan, mengikut undang-undang jika seseorang mahu menjadi calon, mereka tidak boleh terlibat dalam jenayah sama sekali.

"Maka adalah sah bahawa jenayah tidak dilakukan oleh calon BN (Rohaizat). Yang kedua, beliau juga tidak didenda sebanyak RM2,000 atas apa yang dilakukan," kata beliau.

Menurut beliau, "perkara yang harus diperjelaskan ialah firma guaman ini dan Saudara Rohaizat hanya tidak boleh menjadi pengamal undang-undang kerana keputusan telah dibuat oleh Majlis Peguam."

"Oleh yang demikian Saudara Rohaizat adalah layak untuk bertanding sebagai calon BN dalam penamaan calon esok," katanya lagi.

NASIHAT NIK AZIZ

Mengenai kemungkinan seragan peribadi, Zahid memberitahu, pihaknya tidak khuatir dengan serangan-serangan peribadi kerana ini menjadi perkara biasa.

"Menjadi permainan politik pihak lawan dan kami akan menghadapi apa sahaja serangan peribadi yang akan dilontarkan terhadap Saudara Rohaizat.

"Yang penting walaupun kami ahli Umno dan BN, kita mengikuti nasihat daripada Yang Amat Berhormat Tuan Guru Datuk Haji Nik Aziz, Mursyidul Am PAS yang mengatakan bahawa jangan membuat serangan peribadi. Kita juga akur kepada nasihat beliau walaupun kita bukan ahli PAS.

"Kalau kita boleh akur dengan nasihat Mursyidul Am PAS, maka tiada sebab mengapa ahli-ahli PAS dan pemimpin PAS tidak boleh ikut nasihat Mursyidul Am PAS," katanya.

Sejauh mana serangan peribadi ini akan menjejaskan kredibiliti calon BN kelak, Zahid menambah, "ini soal persepsi."

"Menguruskan persepsi adalah pendekatan kami... perspesi negatif, itu tugas kami untuk menjelaskan kepada pengundi-pengundi," katanya.

Menjawab soalan berhubung ucapan Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid pada persidangan perwakilan bahagian itu pagi tadi bahawa ada puak yang cuba mensabotaj jentera BN, Zahid menjelaskan:

"Saya telah dapat atasi kerana keempat-empat jawatankuasa ada (hadir mesyuarat lebih sejam). Tadi kami telah bersumpah dengan nama Allah, dan saya mengetuai sumpah itu, bahawa mereka tidak akan membangkitkan perkara-perkara dalaman untuk dijadikan sebagai isu dalam pilihan raya ini."

Tegasnya, "saya akan mengizinkan mereka untuk berbeda pendapat sekali lagi dan seterusnya selepas 6 petang 25 Ogos nanti."

"Kalau nak berperang, berperanglah tapi selepas 6 petang 25 hari bulan selepas membuang undi... sekarang ini gencatan senjata," katanya.

No comments:

Post a Comment