Saturday, August 15, 2009

UMNO BN sedia menawan kembali Permatang Pasir


Insyallah dengan semangat Manek Urai BN akan Berusaha untuk memecahkan tembok kuat Pakatan di Permatang Pauh pada prk Permatang Pasir nanti.BN akui yang Permatang Pasir adalah kubu kuat Pkr terutama Permatang Pasir berada dibawah Parlimen Permatang Pauh yang dikuasai oleh DSAI.Tapi ini bukan halangan pada BN untuk berusaha bagi membantu rakyat dikawasan itu keluar dari kelompok keresahan yang selama ini tiada apa yang dilakukan Pakatan Rakyat disana.

SEPERTI yang dikatakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang - pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir memang menarik.

Bagi Pas, menarik kerana parti itu bertanding di kawasan yang dinaungi Parlimen Permatang Pauh di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR). DUN dan Parlimen itu pula terletak di negeri Pulau Pinang yang kini diperintah oleh pakatan pembangkang dengan teraju kepimpinannya adalah DAP.

Sebab itu pengamatan Abdul Hadi menyimpulkan pilihan raya kecil kelapan sejak negara melepasi Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac tahun lalu sebagai menarik.

Sememangnya bagi pakatan pembangkang, DUN Permatang Pasir adalah medan untuk mereka memukul gendang dan mendendangkan irama kemenangan seterusnya, selepas satu demi satu pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini berada dalam genggaman mereka.

Biar pun dilihat membuat pelbagai 'onar' dan saling bercakaran, tetapi seperti yang ditegaskan oleh Abdul Hadi, Permatang Pasir merupakan titik pertemuan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang untuk bekerjasama dan bersatu hati.

Matlamat mereka hanya satu - mengekalkan kemenangan di situ sekali gus menafikan semua kata-kata bahawa pakatan umpama retak menunggu belah tidak benar belaka.

Segala perbalahan, ketidaksepakatan serta kerencaman pendapat termasuk menyentuh isu agama dan bangsa yang timbul di kalangan pakatan pembangkang sebelum ini amat diyakini oleh Pas akan 'dilupakan sementara' demi mengekalkan kemenangan di Permatang Pasir yang pasti akan menjulang kekuatan mereka sekali lagi.

Keyakinan dan semangat untuk menang serta meneruskan kesinambungan kemenangan itulah yang jika diamati masih tidak dapat dihayati oleh Barisan Nasional (BN) amnya dan UMNO khususnya.

Semangat mengetepikan semua perbezaan untuk memastikan kemenangan memihak kepada BN tanpa mengira dari parti komponen mana yang meletakkan calonnya semakin menyusut. Itu antara faktor kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac tahun lalu dan juga siri pilihan raya kecil yang berlangsung selepas itu.

Sepatutnya BN khususnya UMNO yang hanya mencatatkan sedikit peningkatan pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai baru-baru ini cepat belajar daripada kekurangan yang hakikatnya telah terserlah, disedari dan diketahui sejak lebih setahun lalu.

Kekurangan dan kesilapan itu mesti segera diatasi, dan bukannya dibiarkan melarat sehingga memberi kesan berpanjangan dan menjejaskan prestasi BN menyebabkan parti itu yang berapi-api menyatakan keyakinan akan menang tiba-tiba tersungkur.

BN yang beria-ia melahirkan harapan kononnya ada cahaya harapan untuk menyingkirkan parti lawan akhirnya kecundang sehingga dijadikan alat serta bahan gurauan setiap kali ada perisytiharan pilihan raya kecil sebagai membazir duit dan air liur berkempen ke sana sini.

Penyatuan jiwa di antara parti-parti komponen kurang terserlah menyebabkan parti yang meletakkan calon di sesuatu kawasan terkontang-kanting terpaksa 'membanting tulang empat kerat' bersendirian dengan sokongan di kalangan rakan-rakan yang lain hanya ternampak di penghujung jalan.

Hakikatnya trend dan tradisi itu tidak boleh dipanjangkan lagi. Jangka hayat BN bergantung kepada semua parti komponennya dan UMNO sahaja. Tanpa sokongan padu dan kerja keras anggota semua parti - cita-cita BN untuk mencatatkan kemenangan dalam apa juga pertandingan tidak akan tercapai.

Semua parti komponen BN mesti belajar daripada kejayaan pakatan pembangkang. Biar apa pun label yang dilekatkan kepada mereka, apabila tiba masanya mereka mencapai kesepakatan - tidak mengira dalam bentuk apa sekali pun sehinggakan perpecahan yang amat nyata sebelum pilihan raya gagal meranapkan keyakinan rakyat terhadap mereka.

BN - parti yang menguar-uarkan bahawa pakatan pembangkang di ambang perpecahan, akan terkubur, tidak lagi mendapat sokongan rakyat - pula terus mengekalkan prestasi mendukacitakan dengan gelombang biru tidak berupaya menembusi pagar pakatan pembangkang tidak mengira simbol apa yang bertanding.

Maka di Permatang Pasir yang menyaksikan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman menggalas amanat sebagai calon BN untuk pilihan raya pada 25 Ogos nanti, kesilapan-kesilapan lalu tidak boleh dibenarkan berulang.

Permatang Pasir bukan Manek Urai. Permatang Pasir dinaungi Permatang Pauh yang ahli Parlimennya tidak boleh dinafikan mempunyai sokongan dan pengaruh tersendiri waima apa pun apa yang dilakukan.

Permatang Pasir terletak di negeri yang pimpinannya tidak akan membenarkan BN bertapak atau kembali melebarkan sayap. Bagi barisan kepimpinan DAP, Permatang Pasir semestinya tidak akan diizinkan terlepas ke tangan BN biar pun antara DAP dan Pas sendiri ada sahaja yang tidak kena dan tidak mesra.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sendiri berkongsi perasaan serta pandangannya bahawa Pas tidak akan menang mudah di Permatang Pasir. Rakan DAP dalam pakatan pembangkang itu dilihat terpaksa berhadapan dengan laluan sukar.

Semestinya pandangan Guan Eng itu tidak akan terhenti setakat di situ. Rakan-rakan pakatan pembangkang tidak akan memandang atau membiarkan ahli-ahli Pas bekerja bersendirian - dan segala kata-kata yang dilemparkan sebelum berlangsungnya pilihan raya akan ditelan seketika.

Segala persengketaan akan ditutup sementara.

BN juga mesti begitu. Segala rasa tidak puas hati, kecil hati dan percakaran senyap yang timbul di kalangan parti komponen mesti diketepikan. Permatang Pasir mesti menyatukan semua parti komponen BN. Di situ mereka mesti bekerja keras dan belajar melupakan sengketa lantaran pilihan raya kecil sebelum ini menunjukkan mereka masih gagal berbuat demikian.

Segala rasa tidak puas hati diterjemahkan dalam bentuk memboikot, tidak membantu jentera parti malah adakalanya meracun pengundi supaya mengundi pihak lawan. Manakala ada parti komponen yang muncul di saat akhir dan berkempen sambil lewa,

Setiap pilihan raya kecil baik di peringkat Parlimen mahu pun DUN adalah petunjuk prestasi BN untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, justeru jika pencapaiannya menyaksikan kemerosotan berpanjangan maka tidak mustahil pertembungan 2011 akan mengulangi prestasi Mac 2008.

INSYALLAH DENGAN SEMANGAT YANG SUDAH TERJALIN TIDAK MUSTAHI PERMATANG PASIR ADALAH JALAN UNTUK BN MENUJU KEJAYAAN DAN YAKIN BAHAWA RAKYAT AKAN BERTINDAK DENGAN RASIONAL DALAM MENENTUKAN PEMIMPIN MANA YANG DIKEHENDAKI MEREKA.

sumber : http://kamalfarsya.blogspot.com

No comments:

Post a Comment