KEPALA BATAS 29 Sept. - Kementerian Pelajaran memperuntukkan sejumlah RM2.196 juta bagi membaiki tahap pendidikan di 111 Sekolah Agama Rakyat (SAR) di seluruh negeri ini pada tahun ini.
Daripada jumlah itu, 10 SAR menerima bantuan pembangunan dan pembaikan berjumlah RM1.1 juta manakala 101 sekolah lagi menerima bantuan pengurusan berjumlah RM1.066 juta.
Bantuan lain pula adalah untuk kursus SAR iaitu Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) berjumlah RM29,900.
Semua bantuan itu disampaikan kepada pihak pengurusan SAR berkenaan oleh Pengarah Jabatan Pelajaran (JPN) Pulau Pinang, Ibrahim Mohamad di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas di sini baru-baru ini.
SAR Saidina Abu Bakar As Sidek Bukit Mertajam menerima bantuan terbanyak iaitu RM500,000 untuk tujuan pembangunan dan pembaikan manakala RM50,160 lagi untuk kerja-kerja pengurusan.
Ketika berucap di majlis itu, Ibrahim berkata, adalah mustahak semua agihan wang tersebut digunakan sepenuhnya untuk memantapkan institusi pendidikan agama Islam di Pulau Pinang.
"Semua hal yang ada kaitan dengan fardu ain dan tulisan jawi perlu diberi keutamaan," ujarnya.
Beliau berkata, semasa usia masih muda, pelajar di sekolah kebangsaan perlu diberi bimbingan mengenai ilmu agama.
"Apabila dewasa nanti, mereka tentu mempunyai hala tuju yang lebih baik kerana masing-masing mempunyai ilmu agama," katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah wakil Kementerian Pelajaran bagi Sektor Pendidikan Islam (SPI), Azhar Abdul Aziz dan Ketua Sektor SPI Pulau Pinang, Umar Aziz.
Umar yang turut berucap pada majlis itu berkata, dengan adanya bantuan tersebut, tahap pendidikan agama Islam di SAR dapat dipertingkatkan.
"Guru-guru SAR boleh memainkan peranan penting untuk membawa perubahan di semua kelas Kafa di kampung masing-masing," katanya.
Sementara itu, wakil SAR Saidina Abu Bakar As Sidek Bukit Mertajam, Che Kalsom Che Me berkata, bantuan berjumlah RM500,000 itu adalah untuk membina bangunan baru bagi menampung 636 pelajar.
"Sebelum ini ada di antara mereka belajar di tempat tidak begitu selesa iaitu di bawah bumbung tempat meletak motosikal," katanya.
Saad Mat Safar dari SAR Al Whusta Permatang Bogak di sini pula berkata, sebanyak RM37,000 turut diagih kepada sekolah berkenaan bagi membaiki kerosakan bangunan sekolah terutama tingkap dan pagar.
"Bantuan yang diterima begitu bermakna kepada pihak pengurusan SAR untuk memantapkan ilmu agama kepada semua pelajar," katanyaKomen
Ini lah bukti keprihatian kerajaan BN kepada Sekolah Agama Rakyat berterusan untuk pendidikan agama Islam kepada anak-anak di peringkat rendah lagi. Lebih manis , Sekolah Agama Rakyat Saidina Abu Bakar As sidiq itu adalah merupakan sekolah agama yang saya belajar dulu semasa di saya bersekolah rendah dan saya juga antara pelajar terawal berlajar di situ . Pada masa dulu ,kami hanya menggunakan surau lama sahaja sebagai kelas setelah masjid baru di bina disebelahnya . Kini jumlahnya muridnya telah meningkat dari tahun ke tahun dan sudah berdiri megah bangunan sekolah sendiri . Kini dengan bantuan kerajaan ,satu lagi bangunan baru akan dibina bagi menampung jumlah murid yang bertambah dari tahun ke tahun.
Setakat nak harap kerajaan negeri nak hulur bantuan , minta maaf lah . bantuan RM 50 kepada guru KAFA di PP sekali itu la itupun awal tahun 2009 ini peruntukan sudah stop pun .
No comments:
Post a Comment