Thursday, October 22, 2009

Kerajaan PP lakukan pembaziran


PULAU PINANG 21 Okt. - Kerajaan negeri melakukan pembaziran apabila perlu menyelenggara kereta-kereta lama yang digunakan oleh para pegawainya sekarang.

Bekas Exco Pengurusan Lalu Lintas, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat negeri Datuk Dr. Teng Hock Nan berkata, perkara itu boleh dielakkan sekiranya pembelian Proton Perdana V6 oleh kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak dibatalkan.

Menurutnya, pentadbiran kerajaan negeri telah menempah lima kereta tersebut dengan harga keseluruhan RM623,000 bagi menggantikan kereta Mercedes Benz dan Volvo yang berusia di antara 10 hingga 13 tahun.

''Kereta-kereta yang ditempah itu sebenarnya dibeli untuk kegunaan pegawai kerajaan negeri dan bukannya untuk ahli Exco seperti yang didakwa Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebelum ini," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman Majlis Sambutan Perayaan Deepavali Gerakan Pulau Pinang yang akan diadakan di ibu pejabat parti itu di Jalan Macalister pada Sabtu ini.

Hock Nan mengulas laporan Ketua Audit Negara 2008 mengenai masalah penggunaan kenderaan milik kerajaan negeri Pahang, Perak dan Pulau Pinang tahun lalu.

Laporan itu menyebut masalah kekerapan penggantian tayar dikenal pasti berlaku di Pulau Pinang dan ia disebabkan keadaan bunga tayar yang haus atau tayar pecah, tayar haus sebelah dan tayar keras.

Selepas pakatan pembangkang mengambil alih kerajaan negeri ini setelah memenangi pilihan raya umum tahun lalu, Guan Eng telah mengumumkan pembatalan pembelian kereta Proton Perdana V6 yang baru.

Tambah Hock Nan, kereta jenama antarabangsa yang digunakan oleh pegawai kerajaan negeri itu memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi setiap bulan kerana ia perlu dibaiki selain bahagian tertentu perlu diganti.

''Malah, kos menyelenggara kereta Mercedes Benz yang digunakan Guan Eng sekarang dengan nombor pendaftaran PG 1 juga boleh mencecah RM50,000 sebulan," ujarnya.

Beliau berkata, hakikatnya tindakan Ketua Menteri membatalkan pembelian kereta Proton Perdana V6 yang telah ditempah kerajaan negeri BN hanya untuk kepentingan politik beliau semata-mata.

''Ini satu perkara mudah dan bukannya satu masalah kerana jika kereta atau barangan lain sekali pun memerlukan ditukar atas sebab yang munasabah, maka ia perlu ditukar sahaja,'' katanya.

No comments:

Post a Comment