BUTTERWORTH 6 Okt. - Ketua UMNO Bagan, Datuk Latif Mirasa mencabar kerajaan Pulau Pinang menyelesaikan segera masalah yang dihadapi lebih 100 penduduk Rumah Hijau, Mak Mandin di sini jika benar-benar ikhlas menjaga kebajikan rakyat negeri ini.
Beliau menegaskan, jika kerajaan negeri tidak mampu melaksanakan projek pembinaan rumah kos rendah yang dijanjikan sebelum ini, tanah bagi pelaksanaan projek itu perlu dipulangkan semula kepada penduduk.
''Saya cabar kerajaan negeri sekarang supaya mereka menyelesaikan masalah tersebut.
''Jika kerajaan negeri tak boleh buat dengan apa alasan sekalipun, serah semula tanah tersebut supaya kita boleh cari jalan untuk bantu penduduk Rumah Hijau," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemelut yang dihadapi 115 keluarga berhubung isu pembinaan rumah kos rendah di kawasan tersebut yang sudah berlarutan sejak lima tahun lalu.
Kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini mencapai persetujuan dengan pemaju, Silver Chanel Sdn. Bhd. untuk menyediakan sebidang tanah bagi pembangunan blok rumah kos rendah untuk penduduk terbabit.
Bagaimanapun kerajaan negeri sekarang yang diterajui DAP tidak meneruskan projek berkenaan dengan alasan dokumen berhubung persetujuan peruntukan tanah bagi pembinaan rumah kos rendah itu hilang dan meminta penduduk berpindah ke kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Ampang Jajar di sini.
Keluarga terbabit bagaimanapun membantah cadangan tersebut kerana menganggap kawasan berkenaan terletak jauh dari kemudahan asas termasuk sekolah, rumah ibadat dan tempat mereka bekerja.
Abdul Latif berkata, penduduk sangat kecewa apabila kerajaan negeri memberi alasan yang tidak munasabah untuk tidak meneruskan projek pembinaan rumah kos rendah yang dijanjikan.
''Alasan yang diberikan oleh kerajaan negeri sekarang ini betul-betul tidak munasabah. Tanah sudah ada, sepatutnya mereka teruskan saja dengan persetujuan asal untuk bina rumah kos rendah tersebut.
''Kalau dokumen tiada sekalipun, sila rujuk kepada pemaju untuk mendapatkan kepastian. Kerajaan negeri perlu menunaikan janji kerana penduduk sudah menetap di situ sejak lebih 45 tahun," jelasnya.
Sementara itu, pengerusi persatuan penduduk kawasan itu, A. Tamil Salvan berkata, penduduk terbabit bersedia untuk berpindah jika kerajaan negeri mengotakan janji dengan membina rumah kos rendah.
''Kami hanya meminta kerajaan negeri bina rumah di kawasan yang lebih selesa dan cukup dengan kemudahan asas. Janganlah lepas tangan kerana masalah ini sudah berlarutan cukup lama," tambahnya.
No comments:
Post a Comment