Monday, October 26, 2009

Klinik Komuniti 1 Malaysia dibina di Pulau Pinang



PULAU PINANG 24 Okt. - Semua agensi terlibat diminta mula menggerakkan usaha mengenal pasti tanah atau bangunan sesuai untuk menempatkan klinik kesihatan komuniti 1Malaysia yang akan diperkenalkan tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, langkah tersebut perlu dilakukan segera memandangkan klinik seumpama itu mampu memberikan banyak faedah kepada rakyat.

''Malah, jika kita lihat idea mewujudkan klinik 1Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini merupakan satu titik mula di mana masyarakat berbilang kaum bakal menikmati manfaatnya.

''Jadi, mereka yang terlibat diminta mula cari tanah atau bangunan sesuai di negeri ini dan memaklumkannya kepada Kementerian Kesihatan supaya klinik ini dapat diwujudkan dengan cepat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang di Bangunan Persekutuan Jalan Anson di sini hari ini.

Pada pembentangan Bajet 2010 semalam, Najib mengumumkan klinik kesihatan komuniti 1Malaysia akan diperkenalkan di kawasan perumahan di bandar pada tahun depan.

Sebagai permulaan, sebanyak 50 buah klinik dengan peruntukan RM10 juta akan diwujudkan dan dikendalikan oleh pembantu pegawai perubatan untuk rawatan setiap hari seperti demam, batuk dan selesema.

Dalam pada itu, Nor Mohamed berkata, mesyuarat itu juga membincangkan beberapa faktor yang boleh memacu ekonomi berpendapatan tinggi di negeri ini terutama golongan bumiputera.

''Antara faktor yang boleh digerakkan ke arah itu adalah dengan memantapkan pencapaian pendidikan, menggilap kemahiran individu supaya menepati keperluan industri dan meningkatkan keupayaan usahawan bumiputera.

''Faktor-faktor itu mampu memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan sekali gus mampu memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi," ujarnya.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan syarikat milik kerajaan (GLC) bagi menggerakkan program Pintar yang mula diperkenalkan di Pulau Pinang untuk diperluaskan ke seluruh negara.

Tambahnya, melalui program itu, GLC boleh memilih mana-mana sekolah untuk dijadikan anak angkat dan menyumbang apa yang diperlukan seperti komputer bagi meningkatkan tahap akademik pelajar.



No comments:

Post a Comment