Thursday, October 22, 2009

Gerakan, UMNO P. Pinang jalin kerjasama erat


PULAU PINANG 21 Okt. – Gerakan dan UMNO Pulau Pinang kini memperbaiki hubungan dan menjalin kerjasama erat demi memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk negeri ini.

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan berkata, salah faham yang timbul antara kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu adalah perkara lama.

‘‘Ia adalah isu yang sudah lama serta basi dan ia seperti keanakanakkan sekiranya kami membiarkan perkara itu berlarutan kerana Gerakan dan UMNO sudah banyak berubah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas pengumuman Majlis Sambutan Perayaan Deepavali Gerakan Pulau Pinang yang akan diadakan di ibu pejabat parti itu di Jalan Macalister pada Sabtu ini.

Hock Nan berkata, bagi menjayakan majlis sambutan itu, pihaknya menjemput semua ahli parti komponen BN di negeri ini dan pada masa sama pihak kerajaan negeri juga dijemput termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

‘‘Kami menjemput semua untuk menghadiri majlis ini tidak kira siapa pun kerana apabila membabitkan sambutan seumpama ini hal-hal politik perlu diketepikan sekali gus mengangkat semangat 1Malaysia,” katanya.



No comments:

Post a Comment