Monday, October 19, 2009

Penduduk Kg Tanjung Tokong setuju pindah

10 % penduduk yang tidak mahu berpindah adalah penyokong PAS dan PKR


Mungkin ramai tidak sedar Anwar Ibrahim ketika menjadi
Pengerusi Perhubungan UMNO PP dulu merupakan pelopor
kuat pembangunan oleh UDA di Kg Tanjung Tokong

KEPALA BATAS 18 Okt. – Projek pembinaan semula Kampung Tanjung Tokong dekat sini yang tertangguh lebih 10 tahun dijangka dimulakan tahun depan apabila hampir 90 peratus penduduk sudah bersetuju untuk berpindah.

Pengarah Urusan UDA Holdings (UDA), Datuk Jaafar Abu Hassan berkata, hampir semua 833 keluarga termasuk 235 daripadanya yang terbabit dalam pelaksanaan fasa pertama projek itu sudah menyatakan persetujuan untuk berpindah.

“Isu ini tidaklah serumit yang digembar-gemburkan, malah ia langsung tidak sama seperti yang berlaku di Kampung Buah Pala. Secara prinsip hampir 90 peratus daripada mereka (penduduk) sudah setuju berpindah.

“Tawaran (pampasan) yang diberi kepada mereka (penduduk) tidak pernah berubah seperti yang dipersetujui sebelum ini. Insya-Allah, dalam awal tahun depan (projek) fasa pertama akan dimulakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran UDA Holdings (Utara) di Dewan Milennium di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas bersama isteri, Toh Puan Majimor Shariff dan Pengerusi UDA, Datuk Hilmi Abd. Rashid.

Perkampungan tradisi yang mempunyai kira-kira 6,000 penduduk itu akan dibangunkan UDA dengan pembangunan bercampur yang menelan kos hampir RM800 juta.

Bagaimanapun, sebahagian penduduk yang mempunyai lesen penempatan sementara (TOL) tidak bersetuju dengan cadangan pembangunan itu kerana mereka mahu perkampungan itu dikekalkan sebagai penempatan warisan.

Jaafar bagaimanapun berkata, permintaan penduduk terbabit sukar dipenuhi memandangkan keluasan tanah di kawasan tersebut yang begitu terhad iaitu hampir 10 hektar sahaja.

Bagaimanapun, UDA akan tetap membuka ruang perbincangan terhadap tuntutan semasa daripada mereka (penduduk) agar segala masalah dapat diselesaikan,” tambahnya.

Menurut beliau, sebagai pemaju bertanggungjawab, pelbagai kemudahan disediakan oleh UDA seperti bayaran sambungan air dan elektrik di rumah transit, lori mengangkut barang ketika berpindah dan keperluan lain.

Malah, katanya, hampir 90 peratus penduduk sudah menerima cadangan projek termasuk pemberian rumah secara percuma manakala bayaran sewa rumah juga diberi kepada penduduk yang enggan menetap di rumah transit hingga projek siap.

Kita terbuka dalam hal ini kerana sejak ditubuhkan tahun 1970-an sebagai badan yang diberi tanggungjawab untuk menjaga kepentingan orang Melayu dalam bandar, UDA tidak pernah lari dari matlamatnya.

Sebab itu, saya ingin menyatakan kepada semua pihak agar memberi peluang kepada UDA untuk laksanakan projek agar nasib serta peluang dapat diberi kepada orang Melayu di kawasan tersebut,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, UDA mengalu-alukan semua pihak termasuk kerajaan negeri untuk mewujudkan jawatankuasa khas bagi memantau perjalanan projek agar ia dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment