Thursday, October 22, 2009

UMNO wujudkan program khas bantu 300 ibu tunggal


BUKIT MERTAJAM 21 Okt. - UMNO Bukit mertajam akan bekerjasama dengan Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang) Parlimen Bukit Mertajam bagi mewujudkan program khas bagi membela dan meningkatkan kualiti hidup golongan ibu tunggal di kawasan tersebut.

Pengerusinya yang juga Ketua UMNO Bahagian Bkt Mertajam , Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi terbabit untuk mengenal pasti golongan ibu tunggal di kawasan tersebut yang dianggarkan mencecah 300 orang.

Menurutnya, program itu yang akan dimulakan hujung bulan depan akan menumpukan usaha meningkatkan kemahiran ibu tunggal supaya mereka tidak lagi bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semata-mata.

''Berdasarkan penelitian yang dibuat, golongan ibu tunggal mempunyai banyak potensi dan kemahiran yang mampu memberi pendapatan jika dimanfaatkan sepenuhnya.

''Program ini akan kita rangka sebaik mungkin bagi memberi bimbingan kepada mereka termasuk menyediakan peluang perniagaan," katanya pada majlis penyampaian sumbangan kepada 100 penerima bantuan JKM di sini hari ini.

Musa berkata, program yang bakal diwujudkan itu adalah sejajar dengan gagasan 1Malaysia dengan memberi fokus kepada usaha membela nasib rakyat yang memerlukan perhatian sewajarnya.

Selain menerokai potensi ibu tunggal, program itu katanya, turut menggariskan strategi khusus bagi membolehkan golongan itu memperolehi pendapatan berterusan.

''Dengan cara ini, mereka tidak akan bergantung terus kepada bantuan JKM dan bantuan yang sepatutnya mereka peroleh boleh diberi kepada pihak lain yang turut memerlukan perhatian.

''Kita akan berusaha untuk mengumpul dana bagi menjayakan program ini dan kita akan bantu golongan ini tanpa mengira kaum," tambahnya.

Musa berkata, satu perjumpaan dengan golongan ibu tunggal akan diatur dalam masa terdekat bagi mengumpul maklumat dan cadangan yang lebih khusus bagi menjayakan program tersebut.

No comments:

Post a Comment