Tuesday, October 6, 2009

Akhirnya PAS juga kena pekena oleh DAP



PULAU PINANG 5 Okt. - Pesuruhjaya Pas negeri, Salleh Man menyerahkan kepada Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman dan Exco Agama negeri, Abdul Malik Kassim membuat penjelasan berhubung isu jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP).

Beliau yang merupakan individu dijanjikan jawatan YDP MAIPP ketika kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos lalu, enggan memberi sebarang kenyataan kerana mempunyai kepentingan dalam perkara itu.

"Tanyalah kepada Mansor dan Abdul Malik, minta penjelasan mereka. Saya tidak mahu komen apa-apa berhubung isu siapa layak memegang jawatan Yang Dipertua MAIPP itu, saya ada kepentingan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yang Dipertua MAIPP ketika ini, Shabudin Yahaya kelmarin mendedahkan surat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai pelantikan Ellias Zakaria sebagai Yang Dipertua MAIPP baru menggantikannya yang akan tamat tempoh lantikan pada Disember ini.

Shabudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan mendakwa, surat perkenan Tuanku Mizan itu dikeluarkan Ogos lalu susulan permohonan kerajaan negeri sendiri yang mencadangkan pelantikan bekas Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Kerajaan negeri bagaimanapun, dakwanya, mengingkari surat perkenan itu apabila mengumumkan nama Salleh bagi mengisi jawatan berkenaan ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir.

Salleh menang kerusi itu selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Ismail.

Bernama melaporkan semalam, Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyerahkan isu siapa yang layak memegang jawatan YDP MAIPP kepada Mansor untuk membuat penjelasan berhubung isu terbabit.

"Saya tidak mahu komen apa-apa, ia diserahkan kepada Exco yang bertanggungjawab. Lebih baik tanya Mansor," katanya kepada pemberita selepas upacara pecah tanah pembinaan Tokong Guan Im Po Mo Gong di Jalan Raja Uda, di sini.

Add to Google

No comments:

Post a Comment