BUTTERWORTH 9 Okt. - Isu jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) belum menunjukkan tanda-tanda akan selesai apabila persoalan siapa bakal mengisi jawatan itu terus menjadi tanda tanya.
Penyandang Yang Dipertua MAIPP, Shabudin Yahaya hari ini menerima surat tawaran daripada kerajaan negeri yang memintanya meneruskan tugas sehingga ke satu tarikh yang belum ditentukan.
Bagaimanapun, beliau sedang menimbang untuk menolak tawaran itu sebagai menghormati surat Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang berkenan melantik bekas Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Ellias Zakaria sebagai penggantinya.
Selain itu, kedudukan Pesuruhjaya Pas negeri, Salleh Man yang dijanjikan oleh kerajaan negeri untuk mengisi jawatan itu sebelum ini juga masih menjadi persoalan.
Shabudin yang dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, surat tawaran daripada kerajaan negeri meminta beliau menyambung tugas diterimanya pagi ini melalui Ibu Pejabat MAIPP, dekat sini.
Bagaimanapun, katanya, surat itu tidak menyatakan secara terperinci sampai bila beliau perlu menjalankan tugas.
''Ini yang membingungkan saya kerana kalau saya diminta meneruskan tugas, bagaimana pula dengan surat perkenan yang dihantar oleh Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Ellias sebagai pengganti saya?
''Surat itu sepatutnya sudah diwartakan kerana itu sudah menjadi satu keputusan yang perlu dipatuhi. Dengan keputusan (Tuanku Mizan) itu, saya sepatutnya perlu mengosongkan jawatan," katanya.
Shabudin baru-baru ini mendedahkan surat perkenan Tuanku Mizan mengenai pelantikan Ellias sebagai Yang Dipertua MAIPP yang baru bagi menggantikan beliau yang akan tamat tempoh lantikan pada 31 Disember ini.
Shabudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan mendakwa, surat perkenan Tuanku Mizan itu dikeluarkan pertengahan Ogos lalu susulan daripada permohonan kerajaan negeri sendiri yang mencadangkan pelantikan Ellias.
Kerajaan negeri bagaimanapun dakwanya, mengingkari surat perkenan tersebut apabila mengumumkan nama Salleh untuk mengisi jawatan berkenaan ketika berkempen dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.
Mengulas lanjut, Shabudin berkata, kerajaan negeri perlu memberi penjelasan lebih lanjut berhubung perkara itu kerana ia membabitkan MAIPP sebagai institusi agama Islam di negeri ini.
''Isu ini menyebabkan perjalanan urusan MAIPP terjejas kerana saya sendiri bimbang wujud pertindihan kemudian hari terutamanya di peringkat membuat keputusan. Kedudukan ahli-ahli majlis sedia ada juga masih kabur," jelasnya.
Sementara itu, Ellias yang dihubungi enggan memberi sebarang ulasan mengenai isu tersebut.
''Saya tidak berada dalam kedudukan yang sewajarnya untuk memberi komen," katanya.
Ditanya mengenai sama ada beliau ada menerima sebarang tawaran sebelum ini untuk mengisi jawatan tersebut, Ellias berkata: ''Biarlah dulu, perkara (jawatan) ini pun kena cakap dengan majikan (USM) dulu (mengenai) baik buruknya".
Sah! Kes Najib Razak Cacat
-
Pengakuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berpotensi membuka mata
ramai.Beliau menyatakan bahawa pendakwaan terhadap beberapa kes susulan PRU
2018 a...
1 day ago
No comments:
Post a Comment