Monday, October 26, 2009

Majlis Pembangunan Pertanian Kawasan Parlimen (MPPP) diminta agresif

TASEK GELUGOR 24 Okt. - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop mahu Majlis Pembangunan Pertanian Kawasan Parlimen (MPPP) di sini bertindak lebih agresif dalam meneliti serta menyelesaikan masalah yang dihadapi petani.

Menurut beliau, semua agensi yang menganggotai MPPP perlu berperanan lebih aktif dalam mengenal pasti dan menyelesaikan masalah di peringkat pelaksanaan projek pertanian, perikanan serta ternakan secara lebih cepat dan berkesan.

Katanya, dalam beberapa keadaan, masalah yang dihadapi para petani hanya melibatkan isu kecil tetapi oleh kerana ia tidak diketahui oleh agensi atau pihak berkenaan, masalah itu mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

''Dalam keadaan tertentu, ia (masalah) mungkin boleh diselesaikan dengan hanya satu panggilan telefon atau sepucuk surat, tetapi oleh kerana kita tidak tahu, maka masalah itu tidak dapat diselesaikan.

''Sebab itu, perlu setiap agensi yang terlibat memainkan peranan untuk turun padang lebih kerap bagi melihat sendiri permasalahan yang mungkin dihadapi petani kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa MPPP Tasek Gelugor di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena, di sini hari ini.

Nor Mohamed yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kerajaan memberi tumpuan khusus kepada bidang pertanian kerana percaya ia mampu menyumbang kepada peningkatan pendapatan petani.

Malah katanya, jika diurus secara sistematik, bidang pertanian mampu mewujudkan golongan petani berpendapatan tinggi sekali gus membantu kerajaan mengubah orientasi pendapatan rakyat ke tahap yang lebih tinggi.

''Usaha berterusan perlu dilakukan bagi memantapkan lagi strategi pertanian negara dan ini sedang dilakukan oleh kerajaan," tambahnya.

Beliau memberitahu, kira-kira 70 peratus penduduk di sini bergantung kepada sektor pertanian sebagai pendapatan utama melalui penanaman pelbagai jenis tanaman seperti padi, getah dan buah-buahan.

No comments:

Post a Comment