Monday, September 28, 2009

Pemuda BN akan seluruh kawasan termasuk estet Bagan Pinang - KJ


Oleh S.A Najmuddin

Putrajaya -- Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata pihaknya akan bergerak ke segenap pelusuk sehingga kawasan estet yang bermajoriti kaum India dalam usaha mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Menurut beliau gerakan tersebut yang dilaksanakan atas platform Pemuda BN itu diharap mampu menterjemahkan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada BN pada hari pengundian nanti.

“Kita berharap semua pemimpin BN juga mengambil tindakan sama kerana terdapat empat peti undi daripada lapan yang majoritinya kaum India, jadi kita perlu sokongan daripada parti yang mempunyai pemimpin daripada kaum itu.

"Saya sudah bermesyuarat dengan Pemuda MIC sebelum Aidilfitri lalu dan mereka bersetuju bekerjasama sebagai satu pasukan. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, di sini, Sabtu.

Bagan Pinang terletak dalam Parlimen Telok Kemang yang mempunyai lima kerusi DUN dengan tiga milik pembangkang, iaitu Chuah dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lukut (DAP) dan Port Dickson (PKR), manakala satu lagi kerusi, DUN Linggi dimenangi BN.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO seterusnya berkata pilihan raya kecil kali ini sangat penting selepas kekalahan BN di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

“Kerusi itu kerusi BN, terletak dalam negeri yang boleh dikategorikan sebagai negeri selamat berbanding Kelantan dan Permatang Pauh. Saya yakin kita mampu mempertahankan kerusi itu berdasarkan sokongan dan bantuan yang akan diberikan kepada BN," katanya.

Pada masa yang sama beliau turut memberitahu, Pemuda BN tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan pilihan raya kecil berkenaan.

“Jentera kita di Teluk Kemang adalah kuat dan bersatu untuk memastikan kemenangan BN kelak”, katanya.

No comments:

Post a Comment