Tuesday, September 8, 2009

Isu ADUN BN ugut letak jawatan akan selesai




NIBONG TEBAL - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman yakin masalah membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) yang mengugut mengosongkan kerusi jika beberapa isu tidak dapat ditangani segera oleh pimpinan parti, akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Saya yakin tidak akan berlaku kekosongan kerusi untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO itu tidak mungkin meletak jawatan. Kami sudah lama kenal dan saya yakin, dia tidak akan sampai buat begitu,” katanya.

Zainal berkata, beliau mengenali ADUN berkenaan secara dekat sejak lebih 20 tahun lalu dan yakin, semangat dan kesetiaannya terhadap parti tidak mudah goyah.

“Selama menjadi wakil rakyat, saya tahu beliau telah menunjukkan prestasi yang baik dan mendapat sokongan kuat rakyat di kawasannya,” katanya.

Beliau yakin ADUN berkenaan akan meletak kepentingan parti melebihi segala-galanya sebelum mengambil keputusan meletak jawatan.

Ini kerana semua masalah yang timbul boleh diselesaikan secara musyawarah dan semangat kekeluargaan. Setakat ini, saya tidak nampak timbul apa-apa masalah daripada mana-mana ADUN berhubung pengagihan projek atau peruntukan ke kawasan mereka. “Mungkin ADUN itu sahaja yang menghadapi masalah, yang bukan pun berpunca daripada agensi Kerajaan Pusat tetapi lebih dengan kepimpinan pada peringkat bahagiannya,” katanya.

Zainal berkata, beliau akan cuba membantu menyelesaikan kemelut yang timbul.

“Saya: akan bertemu dengannya secepat mungkin untuk merungkaikan semua masalah yang dihadapinya,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan kepada anak yatim di Masjid Permatang Tok Mahat, di sini, petang semalam.

Menurutnya, walaupun timbul masalah tertentu tetapi ia tidak akan dibiarkan berlarutan sehingga menjadi parah dan boleh menjejaskan parti serta kepercayaan rakyat.

“Kita tiada masa lagi untuk bergaduh dan berselisih faham kerana perlu menguatkan parti dan mengukuhkan kedudukan untuk membela rakyat. Kita kini menjadi pembangkang di Pulau Pinang dan masalah remeh-temeh tidak boleh dibiarkan mengganggu kelancaran proses pemulihan parti dan menarik semula sokongan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, semua ADUN menyedari bahawa mereka kini menghadapi kekangan dari segi peruntukan kerana hanya bergantung kepada Kerajaan Persekutuan dan agensinya sahaja.

“Pada masa dahulu, semua wakil rakyat mendapat peruntukan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat. Tetapi sejak Pulau Pinang ditadbir Pakatan Rakyat, kita tidak lagi mendapat peruntukan negeri sebaliknya hanya bergantung kepada Kuala Lumpur,” katanya.

Sehubungan itu, ahli dan pemimpin UMNO perlu mengukuhkan perpaduan agar parti itu terus kukuh membela nasib dan kebajikan rakyat.

“Ahli UMNO perlu kembali kepada semangat yang diwarisi daripada generasi terdahulu yang berjuang untuk kepentingan ramai dengan mengenepikan kepentingan peribadi. “Kita tidak mahu masalah seperti ini digunakan oleh pembangkang untuk meraih sokongan rakyat. Pembangkang memang suka dengan keadaan ini kerana ia boleh dimanipulasikan untuk kepentingan politik dan survival mereka,” katanya.




** Saya sudah boleh teka siapa YB Adun berkenaan di bahagian yang bermasalah itu . Saya yakin beliau akan tetap bersama BN dan UMNO .

No comments:

Post a Comment