Sunday, September 6, 2009

Najib meninjau sendiri masalah rakyat di kuarters JKR Cheras

RM28 juta bina kuarters baru


NAJIB Tun Razak bertanya sesuatu kepada Rokiah Awang Teh semasa melawat kuarters kakitangan JKR di Cheras,Kuala Lumpur, semalam. Turut melawat kawasan itu ialah Shaziman Abu Mansor. – utusan/Shaifudin Mohd. Nor


KUALA LUMPUR 5 Sept. –

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan projek pembinaan kuarters baru dengan peruntukan RM28 juta untuk kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menetap di kuarters jabatan itu di Batu 2 1/2 Cheras di sini.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat apabila kerajaan mendapati kuarters yang didiami oleh kira-kira 74 keluarga kakitangan JKR tersebut terlalu uzur dan daif.

Ujarnya, pembinaan kuarters baru berkenaan iaitu dua blok lapan tingkat akan dimulakan secepat mungkin dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 30 bulan.

‘‘Baru-baru ini Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman (Abu Mansor) telah memberitahu saya keadaan bagaimana kakitangan JKR tinggal kuarters yang daif dan buruk. Oleh itu beliau mencadangkan supaya saya melawat ke tempat ini hari ini.

‘‘Sukacita saya maklumkan bahawa berdasarkan keperluan dan keprihatinan kerajaan untuk mengatasi masalah ini, kerajaan akan membangunkan kuarters baru di kawasan Batu 4 1/2 , Jalan Sungei Besi melibatkan 120 unit kelas G,’’ katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di kawasan itu di sini hari ini.

Kedatangan Najib bersama Shaziman disambut oleh kakitangan JKR yang tinggal di kuarters berkenaan.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, rumah yang bakal didiami oleh kakitangan terlibat amat selesa kerana setiap unit mempunyai keluasan 110 meter persegi, tiga bilik tidur, tiga bilik air, ruang tamu, ruang makan dan dapur.

Selain itu, katanya, pelbagai kemudahan akan disediakan di kuarters baru itu antaranya 200 tempat meletak kereta, surau, padang permainan, taman permainan, taman asuhan kanak-kanak dan dua gelanggang futsal.

‘‘JKR akan memanggil tender dalam tempoh sedikit masa lagi,’’ katanya.

Beliau berkata, sebaik sahaja semua kakitangan berpindah kuarters sedia ada akan dirobohkan.

‘‘Memang kuarters ini keadaannya sungguh daif dan tidak sesuai lagi. JKR buat bangunan dan jalan raya yang cantik untuk orang lain tetapi kakitangannya tertinggal sedikit,’’ katanya.

Sementara itu, Najib berkata, pendekatan tinjauan mesra seperti yang diamalkan ketika ini akan diteruskan.

‘‘Ini adalah pendekatan yang saya lihat amat sesuai dan bila saya membuat tinjauan mesra ia tidak terhad kepada penjaja kecil atau orang biasa tetapi turut melibatkan kakitangan kerajaan juga,’’ katanya lagi.

Shaziman ketika ditemui selepas itu berkata, usaha pihak kementerian menyediakan tempat tinggal lebih selesa kepada kakitangan adalah bagi memenuhi hasrat Perdana Menteri dalam mengutamakan rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia.

No comments:

Post a Comment