Wednesday, February 17, 2010

PKR terdesak jual VCD isu liwat RM 3 di Pulau Pinang



BAYAN LEPAS - Pemuda UMNO negeri membuat laporan polis terhadap Pakatan Rakyat kerana mempromosi satu cakera padat video (VCD) mengandungi kes liwat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Laporan itu dibuat Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Bayan Baru, Muhammad Razil Abdul Rahim di Balai Polis Sungai Nibong di sini, jam 11.50 pagi kelmarin.

Muhammad Razil berkata, VCD selama 16 minit itu dijual pada harga RM3 ketika Ceramah Perdana Tolak Fitnah, Selamatkan Pulau Pinang di Tapak Pesta Sungai Nibong, baru-baru ini.

Menurutnya, kulit VCD yang turut memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas pembantu Anwar, Saiful Bukhari Azlan juga dianggap ‘melampau’ kerana cuba mengaitkan Najib dan UMNO dengan kes liwat Saiful.

“Kita menonton VCD itu, terkejut kerana mengandungi kenyataan bahawa Anwar tidak bersalah dengan bukti pengakuan seorang doktor di Hospital Pusrawi.

“Ia tidak sepatutnya terjadi kerana boleh mendatangkan prasangka buruk masyarakat terhadap kes yang sedang didengar di mahkamah,” katanya.

Turut sama, Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahalan dan sekumpulan Pemuda UMNO Pulau Pinang.

Sementara itu, Norman mengingatkan pihak yang tidak bertanggungjawab supaya jangan membuat fitnah dan mempolitikkan kes yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Norman berkata, tindakan penganjur ceramah mempromosi serta menjual VCD itu secara terbuka adalah satu penghinaan kepada mahkamah.

“Mereka patut tahu, malah ahli mereka juga ramai dalam kalangan peguam. Saya berharap polis akan menjalankan siasatan terperinci terhadap laporan itu dan bertindak ke atas bukti yang kami sudah serahkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment