Wednesday, February 17, 2010
Orang Melayu PP perlu bersatu
SEBERANG JAYA – Orang Melayu di negeri ini perlu bersatu untuk membela nasib kaum mereka jika mahu selamat, bukan bertelagah yang akhirnya merosakkan bangsa itu sendiri.
Bekas Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Azman Shah Omar Shah berkata, orang Melayu Pulau Pinang perlu sedar dan bangkit merapatkan saf dalam memperjuangkan hak mereka, bukan melihat masalah serta isu lapuk.
Menurutnya, sudah tiba masanya Melayu Pulau Pinang duduk semeja berbincang jalan penyelesaian yang boleh dicapai bagi memastikan nasib serta maruah bangsa mereka di negeri ini tidak terus dipertikaikan
“Isu yang mereka bangkitkan pada hari ini sebenarnya sudah berulang kali diperkatakan iaitu isu 10 tahun lalu. Jadi, masalah tidak akan selesai selagi tidak ada satu permuafakatan dalam kalangan orang Melayu itu sendiri. Tiada siapa boleh menyelamatkan orang Melayu melainkan orang Melayu itu sendiri.
“Justeru, mereka yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang perlu duduk, berbincang serta mencari jalan penyelesaian untuk menyelamatkan orang Melayu. Apa yang penting adalah menstabilkan kembali ekonomi orang Melayu di Pulau Pinang. Ini kerana, ia merupakan perkara pokok dalam menyelamatkan nasib Melayu di sini,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel, dekat sini.
Beliau berkata, jaringan serta keikhlasan penting mewujudkan kestabilan ekonomi selain perkongsian antara mereka yang mempunyai pengetahuan dalam pelbagai aspek.
Tambahnya, jika semua perkara dapat dilaksanakan, maka tidak mustahil nasib orang Melayu di negeri ini dapat dibela.
Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang berkata, beberapa perancangan sedang diatur atas tiket Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam merencanakan strategi untuk menyelamatkan Melayu negeri ini.
Katanya, ia akan dilaksanakan dalam sedikit masa lagi dan apa yang penting adalah Melayu perlu bersatu, ikhlas, sedar serta bantu-membantu antara satu sama lain bagi menangani permasalahan yang timbul, bukan menindas serta menyulitkan lagi keadaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment