BUKIT MERTAJAM 22 Feb.-- Pemuda UMNO Pulau Pinang hanya akan melayan pelawaan pakatan pembangkang untuk berdebat mengenai isu nasib orang Melayu sekiranya Ketua Menteri, Lim Guan Eng sendiri tampil menjadi panel dalam perdebatan itu.
Ketuanya, Norman Zahalan berkata, sebagai ketua kerajaan negeri, Guan Eng perlu berani tampil sendiri menjelaskan segala isu berbangkit membabitkan nasib orang Melayu di Pulau Pinang.
''Kita tidak mahu membuang masa berdebat dengan orang-orang yang sekadar menjadi 'kuda tunggangan' dan tidak mempunyai kuasa dalam menentukan dasar dan polisi kerajaan negeri dalam isu ini.
''Kalau Guan Eng betul-betul ikhlas dalam menyelesaikan isu-isu orang Melayu, dia perlu berani berdepan dengan kita sebab dia lebih tahu sebagai Ketua Menteri," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pergerakan sayap Pemuda parti-parti pakatan pembangkang di negeri ini mempelawa Pemuda UMNO dan wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuangkan orang Melayu untuk menyertai debat terbuka anjuran mereka pada 7 Mac ini.
Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) negeri Yeoh Soon Hin dilaporkan berkata, debat bertemakan "Isu Melayu Pulau Pinang: Antara Provokasi dan Kebenaran" itu bertujuan memberi penjelasan mengenai pelbagai isu berkaitan orang Melayu dan umat Islam di negeri ini.
Selain Pemuda UMNO, turut dipelawa menyertai perdebatan itu ialah Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMM) dan Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Mereka diminta menghantar surat jawapan selewat-lewatnya 3 Mac ini.
Norman bagaimanapun mendakwa, perdebatan itu tidak lebih daripada propaganda politik Guan Eng yang tertekan selepas gagal menjelaskan pelbagai isu berhubung kepimpinannya.
''Isu dan persoalan itu dibiarkan tanpa jawapan dan sekarang Guan Eng paksa pula orang-orang ini untuk berdebat. Kalau Guan Eng ikhlas, dia perlu tampil sendiri untuk beri penjelasan," tegasnya.
Malah katanya, pakatan pembangkang seharusnya lebih profesional dan ikhlas dengan turun padang menyelesaikan masalah rakyat bukannya menjaja cerita dan masalah di pentas- pentas ceramah.
Norman menambah, perdebatan sahaja tidak akan menyelesaikan sebarang masalah sebaliknya pemimpin pakatan pembangkang terutamanya Guan Eng perlu bekerja dan mengotakan segala janji-janji pilihan raya.
No comments:
Post a Comment