|
|
NIBONG TEBAL 9 Feb. - Sempena kedatangan Tahun Baru Cina pada Ahad ini, nasib golongan masyarakat berketurunan Tionghoa yang kurang bernasib baik tidak akan dilupakan oleh mereka yang berkemampuan.
Untuk itu, UMNO Bahagian Nibong Tebal mengambil inisiatif untuk menziarahi 25 buah rumah yang didiami penduduk kurang berkemampuan di sekitar kawasan Jawi dan Sungai Bakap di sini.
Ketuanya, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, selari dengan gagasan 1Malaysia, pihaknya turut sama meraikan perayaan masyarakat lain dengan menghulurkan sumbangan wang tunai dan hamper kepada mereka yang tidak bernasib baik.
"Kami memilih 25 rumah yang didiami oleh mereka yang benar-benar daif untuk menerima sumbangan ini bagi meringankan beban mereka menjelang Tahun Baru Cina.
"Malah kami juga mengubah tradisi di mana selama ini diadakan di dewan dengan datang sendiri ke rumah penduduk bagi mendalami sendiri keperitan hidup mereka," katanya kepada pemberita hari ini.
Lawatan itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria.
Tambahnya, sumbangan yang diberikan itu adalah sebagai tanda ingatan UMNO kepada penduduk Cina di kawasan tersebut selain mendekatkan diri dengan masyarakat setempat.
"Kami juga turut melakukan perkara serupa pada musim perayaan lain seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha serta Deepavali," ujarnya yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
Menurut salah seorang penerima, Lau Khiang Yak, 70, beliau terharu dengan kesudian UMNO menghulurkan sumbangan.
"Saya tidak sangka orang Melayu boleh datang beri hamper kerana saya tak mampu menyediakan persiapan untuk raya nanti.
"Kandungan hamper ini bolehlah dihidangkan kepada tetamu yang datang pada Tahun Baru Cina nanti," katanya yang mencari pendapatan dengan mengutip bahan terbuang untuk dikitar semula.
Sementara itu, Teoh Teik Choon, 86, yang menghidap gout memberitahu, beliau mengucapkan terima kasih kepada UMNO Bahagian Nibong Tebal kerana sudi menziarahinya.
"Saya tak mampu nak bekerja jadi sumbangan yang diberi ini bolehlah meringankan sikit beban saya," jelasnya.
No comments:
Post a Comment