Sunday, February 7, 2010
Penduduk Pulau Pinang kaji sokongan terhadap PR
SIK - UMNO Pulau Pinang mencadangkan penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji kepincangan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) negeri itu yang diterajui DAP.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhannya bersesuaian dengan parti itu yang sering mendesak ditubuhkan suruhanjaya siasatan bagi menyiasat kelemahan kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Pembangkang (DAP) mudah melempar tuduhan terhadap kerajaan, meminta suruhanjaya siasatan ditubuhkan dan dikeluarkan kertas putih.
“Sekarang kita minta satu kertas putih dikeluarkan atau suruhanjaya diraja mengkaji kelemahan mereka,” katanya kepada pemberita mengulas kemelut antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang sekarang.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO ditemui selepas membuat lawatan kerja di Kem Rimba Taqwa, Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), di sini, semalam.
Ahmad Zahid berkata, apabila PKR menyingkap sikap Ketua Menteri, Lim Guan Eng ia sudah jelas menggambarkan masalah dalaman parti itu tetapi Guan Eng sedaya upaya enggan mengaku.
“BN tidak akan campur tangan tetapi membiarkan rakyat membuat perubahan. Selama dua tahun DAP perintah, tiada satu pun kemajuan dicapai, tiada pelaburan baru masuk malah hak sesuatu kaum diketepikan walaupun ia tidak dibuat atas nama kaum tetapi tindakan mereka memperlihatkan sikap prejudis DAP.
“Walaupun melaungkan Malaysian Malaysia tetapi amalan DAP tidak pernah mempraktikkan slogan mereka,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, penduduk Pulau Pinang perlu mengkaji semula pendirian mereka mulai sekarang untuk menyokong PR atau kembali menyokong BN.
“Jika mahukan perubahan, pembangunan dan peruntukan semua kaum dipenuhi, eloklah tukar selera mulai sekarang kerana pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi. Malahan BN tidak seperti PR yang menindas sesuatu kaum,” katanya. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment