BUTTERWORTH 1 Feb. - Parti Cinta Malaysia (PCM) mendakwa lebih ramai pemimpin dan ahli DAP di Pulau Pinang menyatakan minat menyertai parti itu ekoran kekecewaan terhadap sikap dan cara kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Naib Presiden PCM, Huan Cheng Guan berkata, rasa tidak puas hati pemimpin serta penyokong DAP terhadap kepimpinan Guan Eng semakin ketara apabila terdapat pemimpin kanannya yang bertindak keluar parti.
Menurutnya, tidak kurang 1,000 penyokong DAP di Pulau Pinang sudah menyatakan minat menyertai PCM tetapi sebagai parti yang baru ditubuhkan enam bulan lalu, PCM memerlukan masa untuk memproses keahlian baru.
''Rata-rata mereka mendakwa sudah mengenali 'wajah sebenar' Guan Eng dan jelas mereka sangat kecewa dengan pentadbiran kerajaan negeri yang dilihat sebagai kerajaan monopoli.
''Lihat sahaja bagaimana pemimpin lama DAP seperti Ketua Pasukan Bertindak DAP Negeri, Tham Weng Fatt yang berjuang selama 22 tahun untuk DAP tetapi akhirnya bertindak keluar parti. Ini mesej yang jelas kepada Guan Eng," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, kritikan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim terhadap kepimpinan Guan Eng menggambarkan sikap Setiausaha Agung DAP itu yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan pandangan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang.
Selain itu, kepimpinan akar umbi DAP di Pulau Pinang tidak menyenangi kepimpinan Guan Eng yang bersifat monopoli sedangkan beliau hanya 'orang luar' yang membina kerjaya politik di Pulau Pinang.
''Sehingga ada penyokong DAP sendiri yang tidak senang dengan Guan Eng yang seolah-olah datang ke Pulau Pinang untuk 'cari makan' tanpa menghiraukan pandangan ahli akar umbi yang berjuang untuk DAP sejak begitu lama.
''Mungkin sudah tiba masanya DAP meminda perlembagaan mereka sendiri untuk membolehkan hanya anak jati negeri sahaja yang boleh memegang jawatan sebagai Ketua Menteri," katanya.
Zahrain yang juga bekas Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang baru-baru ini secara terbuka mengkritik Guan Eng dengan melabelkannya sebagai cauvinis, diktator dan berfikiran bahaya.
Ekoran tindakannya itu, Jawatankuasa Disiplin PKR semalam menetapkan tempoh sebulan untuk meneliti tindakan ke atas Zahrain.
No comments:
Post a Comment