GEORGETOWN - Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng mencabar Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dan Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) ke atasnya jika mereka benar-benar mempunyai bukti kukuh mendakwa beliau menyalahgunakan kuasa sebagai Ahli Parlimen.
Tee Beng turut menyatakan kesanggupan untuk menunggu Jeff Ooi dan Ramasamy di ibu pejabat SPRM cawangan Pulau Pinang selama sejam, bermula jam 4 petang hari ini untuk bersemuka secara terus dengan mereka bagi mendapatkan penjelasan dua wakil Kerajaan Negeri itu atas tindakan mereka.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu menyatakan demikian bagi menjawab dakwaan Jeff Ooi, beliau pernah cuba menggunakan kuasa sebagai Ahli Parlimen untuk mendapatkan sebuah lot perniagaan milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Daerah Timur Laut bagi pihak bapa saudaranya sebelum dihalang oleh Lembaga Pengarah PDC dipengerusikan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Selang beberapa hari kemudian, Ramasamy pula mendakwa Tee Beng pernah beberapa kali cuba membida tender projek daripada PDC di kawasan Nibong Tebal secara ‘jalan belakang’ dengan pengurusan PDC, dan tidak melalui tender terbuka yang diamalkan Kerajaan Negeri selama ini.
Tee Beng menyifatkan kenyataan Jeff Ooi dan Ramasamy sebelum ini, yang mendakwa beliau menyalahgunakan kuasa sebagai Ahli Parlimen untuk mencampuri urusan pengagihan tender PDC adalah tidak benar dan berniat jahat untuk memburukkan reputasinya di mata rakyat.
“Jika Jeff Ooi dan Ramasamy benar-benar ada bukti saya salah guna kuasa sebagai Ahli Parlimen, saya cabar mereka segera lapor pada SPRM esok (hari ini).
“Saya juga sanggup tunggu dan bersemuka dengan mereka di ibu pejabat SPRM negeri sekiranya mereka benar-benar anak jantan,”katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini, semalam.
Tee Beng mendakwa tujuan Jeff Ooi dan Ramasamy membuat pelbagai tohmahan dan fitnah ke atas dirinya adalah untuk menjatuhkan air mukanya setelah beliau secara terang-terangan mengkritik pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan kepimpinan DAP di Pulau Pinang.
Menurutnya, beliau benar-benar bersedia menghadapi segala kemungkinan pada hari ini dan menjelaskan, cabaran itu dilontarkan semata-mata untuk mendapatkan kebenaran bagi pihak dirinya.
“Apabila ahli politik yang licik seperti Jeff Ooi dan Ramasamy cuba memperalatkan media untuk menjatuhkan reputasi saya, saya tidak akan berdiam diri dan bersedia untuk berjuang habis-habisan demi menjaga nama baik saya dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Saya turut cabar mereka untuk berjumpa dengan saya esok (hari ini) kerana pertemuan itu perlu untuk membuktikan kebenaran,”katanya.
Sementara itu, Tee Beng turut mengesahkan menerima satu emel daripada Lembaga Tatatertib PKR yang diketuai Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail kira-kira 3 petang semalam yang meminta beliau bekerjasama dengan pihak lembaga sewaktu proses tindakan disiplin dijalankan.
Bagaimanapun katanya, emel itu tidak menyatakan tindakan atau waktu tindakan yang akan diambil kerana arahannya tidak jelas.
“Arahan yang dinyatakan dalam emel itu adalah tidak jelas memandangkan saya hanya diminta bekerjasama dengan Lembaga Tatatertib PKR sahaja, dan tiada sebarang bentuk atau tempoh tindakan yang dinyatakan.
“Bagaimanapun, saya serah kepada parti untuk tentukan kedudukan saya selepas ini,”katanya.
No comments:
Post a Comment