Monday, January 4, 2010

UMNO Permatang Pauh wujud wakil rakyat angkat





PERMATANG PAUH – UMNO mewujudkan wakil rakyat angkat mereka di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) khusus bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat di kawasan tersebut dengan mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah berkata, keputusan tersebut dibuat Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri yang diadakan baru-baru ini.

Menurutnya, dua calon telah pun dipersetujui bagi mengisi dua jawatan di DUN Penanti dan DUN Permatang Pasir dalam Parlimen Permatang Pauh.

“Hasil mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri baru-baru ini telah pun memutuskan dan bersetuju untuk memilih Timbalan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rahim Man sebagai wakil rakyat angkat di DUN Penanti, manakala Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Zaidi Said sebagai wakil rakyat angkat di DUN Permatang Pasir.

“Fungsi dan peranan mereka ini sama seperti wakil rakyat yang lain, cuma mereka tidak mempunyai hak untuk menandatangani sebarang dokumen dan ia perlu dirujuk kepada wakil rakyat sebenar.

“Rakyat yang mempunyai sebarang masalah boleh merujuk kepada wakil rakyat angkat ini dan mereka akan menjalankan peranan untuk membantu rakyat dengan mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui pada Program Skim Bantuan Persekutuan Ceria ke Sekolah di Dewan Majlis Peraduan dan Kebajikan Rakyat Pulau Pinang (MKRPP), di sini, kelmarin.

Beliau berkata, wakil rakyat angkat tersebut juga akan membuka pusat khidmat di kawasan masing-masing dan rakyat yang ingin membuat sebarang aduan boleh berkunjung ke pusat khidmat mereka.

Dalam pada itu, beliau turut difahamkan wakil rakyat angkat berkenaan juga dibayar elaun bagi melaksanakan tugas tersebut dan pelantikan mereka berkuat kuasa 1 Januari 2010.

Justeru, katanya, diharap dengan adanya wakil rakyat angkat tersebut dapat membantu membela nasib rakyat dan tidak mahu hak mereka ditidakkan dalam apa situasi sekali pun.

No comments:

Post a Comment