|
|
PULAU PINANG 27 Jan. - Sepatutnya Sabtu ini adalah detik paling manis kepada Nurul Suraya Aziz, 22, dan pasangannya, Yusman Zakree Osman, 24.
Majlis perkahwinan mereka bukan sahaja akan berlangsung pada hari berkenaan malah pemilihan lokasi majlis tersebut juga adalah cukup unik yang mampu mengukir kenangan terindah kepada pasangan itu.
Ini kerana mereka mungkin pasangan pertama di negara ini yang melangsungkan majlis perkahwinan di atas pokok iaitu di Kedai Do Re Mi yang terletak di atas pokok di kawasan pantai Tanjung Bunga di sini.
Hasrat mereka itu hampir-hampir tidak tercapai sekiranya Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) tetap meneruskan operasi merobohkan kedai milik sepupunya itu hari ini.
Seperti mana babak dalam filem Laksamana Do Re Mi, operasi MPPP yang bermula sejak pukul 9 pagi itu ditangguhkan separuh jalan kepada hujung bulan ini setelah menerima bantahan hebat anggota keluarga pemilik kedai makan itu.
Malah ibu saudara pemilik kedai itu, Normah Mohd Noor, 50, bersama beberapa orang anaknya termasuk Nurul turut dilihat menangis sambil merayu kepada pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut, polis dan penguat kuasa MPPP supaya tidak meroboh gerai tersebut.
Ini berikutan segala persiapan untuk majlis berkenaan telah siap diatur.
''Kasihanilah kami tuan, mana kami sekeluarga mahu meletak muka jika majlis perkahwinan yang dirancang ini tidak dapat dibuat. Sebagai manusia, kami mohon timbang rasa dan fahamilah kesukaran yang kami alami.
''Semua kenalan dan saudara mara sudah dijemput. Ada yang datang dari Perak, Kuala Lumpur dan Kedah. Semuanya kira-kira 700 orang. Khemah dan lauk pauk juga sudah ditempah.
''Esok semuanya akan mula 'berkampung' di kawasan pantai ini. Saya buntu dan tak tahu apa yang perlu dilakukan melihatkan apa yang berlaku hari ini," katanya sambil mententeramkan Nurul di kawasan kedai itu di sini hari ini.
Menurut Normah, beliau telah menghabiskan RM16,000 semata-mata untuk memastikan persiapan majlis perkahwinan anaknya itu berjalan lancar.
Sementara itu, pemilik kedai makan itu, Johar Ismail, 34, berkata, operasi untuk merobohkan kedainya itu ditangguhkan sehingga Sabtu ini untuk membolehkan majlis tersebut berlangsung.
Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh wakil Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) cawangan Pulau Pinang yang diketuai Naib Yang Dipertuanya, Syed Hassan Syed Ali setelah mereka berjumpa Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainal Rahim Seman di Komtar.
''Saya tidak tahu apa nak kata lagi. Sudah banyak saya bersuara tapi semuanya tidak dipedulikan. Saya bukan orang kaya, banyak hutang yang perlu saya bayar. Mungkin inilah hadiah hari jadi yang paling 'manis' untuk saya. Peruk nasi kami sekeluarga ditabur pasir oleh mereka.
''Saya akur dengan arahan ini. Saya sedia walaupun sedih melihat usaha saya selama lapan tahun membangunkan kawasan ini terkubur setakat ini," katanya yang menyambut hari jadi ke-34, 20 Januari lalu.
Sebelum itu, suasana kecoh hampir tercetus di kedai makan atas pokok itu apabila sekumpulan anggota penguat kuasa MPPP menjalankan operasi merobohkan kedai tersebut yang telah dibina sejak lapan tahun dulu itu.
Kekecohan tercetus sebaik operasi bermula sebelum beberapa ahli keluarga pemilik kedai melontarkan kata-kata kesat sambil melabel anggota MPPP sebagai orang suruhan kerana tidak mengendahkan rayuan mereka agar operasi itu ditangguhkan.
Keadaan menjadi lebih tegang apabila beberapa wanita daripada kumpulan berkenaan bertindak nekad sambil merayu supaya kerja-kerja merobohkan premis tersebut dihentikan.
Mereka dilihat menjerit-jerit sambil menangis dan ada antaranya masih berada di dalam kedai itu walaupun beberapa anggota MPPP telah siap sedia untuk memotong tiang yang menyokong struktur kedai berkenaan.
Seorang penyokong kepada pemilik kedai makan itu yang menaiki sebuah bot juga dilihat menjerit-jerit dari arah laut sambil melontarkan kata-kata kesat kepada anggota MPPP.
'Drama' hampir dua jam itu turut menarik minat kira-kira 20 pelancong asing yang sedang mandi dan berehat di kawasan berkenaan.
Mereka dilihat menghampiri kawasan tersebut sambil melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan yang dibuat kerajaan negeri itu.
'Kami menyokong kamu," kata beberapa orang pelancong yang dilihat mesra dan mengenali keluarga terlibat
Berikutan keadaan yang semakin tidak terkawal, operasi tersebut terpaksa dihentikan dan ditangguhkan hampir sejam bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Ketika itu hanya empat struktur kedai atas pokok itu sudah dirobohkan.
Pada masa ini, yang masih tinggal hanyalah sebuah kedai tiga tingkat atas pokok sementara struktur lain termasuk tandas dan surau telah dirobohkan.
No comments:
Post a Comment