Sunday, January 17, 2010

Klinik 1Malaysia buktikan kerajaan penuhi kehendak rakyat





TELOK AIR TAWAR - Usaha berterusan kerajaan menyediakan perkhidmatan terbaik yang merangkumi berbagai aspek termasuk dari segi kesihatan bertujuan memberikan keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Melalui gagasan Rakyat Didahulukan Pencapaian :Diutamakan, semua perkara yang melibatkan kepentingan rakyat tidak sama sekali akan dipinggirkan bahkan ia akan menjadi agenda utama pemimpin negara sekarang ini.

Ketua Pemuda UMNO Tasek Gelugor, Hasbul Hazani Daud berkata, langkah kerajaan memperkenalkan perkhidmatan Klinik 1Malaysia berupaya memberikan kesejahteraan dan keselesaan kepada rakyat berpendapatan rendah di bandar ini.

“Langkah ini amat bertepatan terutamanya untuk penduduk di kawasan bandar yang akan mendapatkan rawatan segera kerana Klinik 1Malaysia ini berfungsi seperti klinik desa di luar bandar.

“Tambahan lagi melalui operasinya yang menjangkau hingga ke jam 10 malam setiap hari akan memberikan banyak manfaat kepada penduduk yang sibuk bekerja pada sebelah siangnya,” katanya ketika mengetuai barisan Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Tasek Gelugor mengunjungi Klinik 1Malaysia yang terletak di Telok Air Tawar di sini, semalam

Hasbul berkata, kehadiran klinik itu yang terletak di kawasan perumahan tentunya menggembirakan rakyat kerana kedudukannya yang dekat dengan kediaman mereka akan menjimatkan kos rawatan kesihatan dan masa mereka.

Klinik 1Malaysia Telok Air Tawar di sini diurus oleh lima kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara yang terdiri daripada seorang Penolong Pegawai Perubatan, seorang Jururawat Terlatih dan tiga Pembantu Perawatan Kesihatan.

Klinik itu dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dan menyediakan perkhidmatan rawatan penyakit ringan, proses rawatan ringan dan khidmat nasihat serta promosi kesihatan kepada penduduk sekitar kawasan ini.

Menurutnya, klinik itu boleh dianggap sebagai pusat rawatan pesakit luar yang utama di setiap kawasan berikutan rawatan awal yang diberikan

“Konsep menyediakan klinik di kawasan perumahan atau taman sekitar daerah ini amat bersesuaian kerana penduduk tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan atas penyakit ringan yang dihidapi.

“Malah, pesakit juga boleh dibawa ke sini untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk oleh kakitangan terbabit ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan jika penyakit mereka serius atau dalam keadaan yang agak kritikal,” katanya.

Menurutnya, pembukaan klinik itu memenuhi kehendak rakyat yang mahu kerajaan membantu meringankan beban masyarakat terutama mereka yang berpendapatan rendah.

‘’Masyarakat tidak perlu pergi ke bandar untuk mendapatkan rawatan biasa di hospital malah terpaksa menunggu lama untuk mendapatkannya. Sistem yang digunakan begitu sistematik dan kemudahan seperti tempat duduk yang selesa juga menjadikan klinik 1Malaysia sebagai pilihan utama rakyat mendapatkan rawatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment