GEORGETOWN - Kerajaan Negeri menyifatkan dakwaan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) cawangan Pulau Pinang yang mendakwa caj 0.1 peratus yang dikenakan bagi membantah keputusan tender membebankan kontraktor bumiputera adalah tidak berasas dan bertentangan dengan prinsip terbuka yang diamalkan.
Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farizan Darus berkata, caj 0.1 peratus bagi mengemukakan bantahan atau minima RM50 mengikut mana lebih tinggi diperkenalkan Kerajaan Negeri di mana keputusan Lembaga Perolehan akan dipamerkan selama dua minggu bagi tujuan bantahan setelah ia dikeluarkan.
Menurutnya, tujuan caj itu dikenakan bagi menjamin kontraktor yang mempunyai alasan bantahan konkrit sahaja umengemukakan bantahan dan caj itu akan dikembalikan jika didapati asas bantahan yang diterima adalah relevan dan benar.
“Ingin dijelaskan, tujuan caj bantahan diperkenalkan dan keputusan Lembaga Perolehan dipamerkan selama dua minggu adalah bertujuan memberi peluang kepada kontraktor yang tidak berpuas hati untuk membuat bantahan selaras dengan dasar Kerajaan Negeri mengamalkan pentadbiran Cekap, Telus Akauntabiliti (CAT).
“Ini berbeza dengan keputusan Lembag:a Perolehan Negeri sebelum ini yang tidak memberi peluang kepada mereka yang tidak berpuas hati untuk mengemukakan bantahan dan sehingga tarikh 31 Disember 2009, Kerajaan Negeri mengesahkan hanya menerima satu bantahan sahaja terhadap keputusan Lembaga Perolehan,”katanya menerusi satu kenyataan media kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
:Farizan berkata, Kerajaan Negeri turut menyedari terdapat kontraktor yang tidak mempunyai sebarang kerja bagi tahun 2009 kerana jumlah kontraktor yang terdapat di Pulau Pinang adalah lebih banyak berbanding jumlah projek yang dapat ditawarkan Kerajaan Negeri.
“Ketidaksamaan antara jumlah kontraktor yang jauh lebih ramai berbanding jumlah tawaran kerja oleh Kerajaan Negeri menyebabkan sememangnya terdapat kontraktor yang tidak mempunyai kerja,”katanya.
Pada masa yang sama, Farizan memberi jaminan kepada PKMM Pulau Pinang bahawa Kerajaan Negeri akan meneliti semula kewajaran pengurangan kadar bayaran pendaftaran sebanyak RM200 setahun yang dikenakan bagi kesemua kontraktor yang ingin mendaftar syarikat mereka untuk membida projek Kerajaan Negeri.
Menurutnya, bayaran RM200 bagaimanapun sangat kecil iaitu bersamaan dengan RM16.60 sebulan di mana ianya sepatutnya tidak mendatangkan masalah kepada mana-mana kontraktor termasuk kontraktor kelas F.
“Bayaran ini sepatutnya dianggap sebagai kos operasi perniagaan di sebuah syarikat kerana ianya mempunyai kebaikan tersendiri.
“Kontraktor yang sanggup mendaftar bagi e-Perolehan dengan membayar RM200 a menunjukkan bukti kontraktor yang berdaftar komited terhadap kerja-kerja yang akan dilaksanakan, tambahan pula sememangnya diketahui bilangan kontraktor di negeri ini lebih ramai daripada tawaran projek,”katanya.
Sehubungan itu, Farizan meminta PKMM Pulau Pinang merujuk secara terus kepada Kerajaan Negeri jika timbul sebarang keraguan berkaitan isu perolehan tender memandangkan Kerajaan Negeri sentiasa bersikap terbuka untuk mendapatkan cadangan dan maklum balas demi mengatasi isu-isu berbangkit dengan kontraktor di negeri ini terutama golongan bumiputera.
Sebelum ini, Sinar Harian 17 Disember 2009 menyiarkan kenyataan PKMM Pulau Pinang yang menggesa Kerajaan Negeri menghapuskan caj kemuka bantahan penawaran sesuatu tender sebanyak 0.1 peratus daripada nilai projek yang ditender oleh Kerajaan Negeri dan menyifatkannya sebagai ‘mencekik darah’ kontraktor di negeri ini.
Menurutnya, sebelum ini, tiada caj yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri terdahulu terhadap sebarang bantahan yang dikemukakan oleh kontraktor dan beliau mendesak Kerajaan Negeri amengekalkan keadaan yang sama demi keadilan semua kontraktor di negeri ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment