PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alu usaha kerajaan negeri Pulau Pinang melancarkan Inisiatif Pulau Pinang Bersih dan Hijau.
Inisiatif ini walaupun sudah lama terlewat memandangkan alam sekitar Pulau Pinang semakin merosot, ia merupakan langkah positif ke arah untuk mengembalikan semula keindahan Pulau Pinang yang telah hilang.
Bagaimanapun, seperti mana yang disiarkan dalam akhbar The Star, 24 Mei 2010, kerajaan negeri dilihat mengorbankan nilai asas manusia dalam usaha untuk menghasilkan alam sekitar yang lebih baik bagi rakyatnya.
Gambar itu turut disertakan bersama dengan artikel Get involved in cleanliness campaign, urges CM, menunjukkan dua lelaki dikelilingi oleh sisa hitam tebal separas dada dengan segala macam sampah yang reput dan terapung dalam usaha mereka untuk membersihkan saliran Prangin.
Kami mempersoalkan bagaimana dua pekerja ini dibenarkan melakukan tugas yang amat teruk ini oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Lalu Lintas dan Kerajaan Tempatan Negeri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, yang mengetuai inisiatif itu. Kami amat terkejut dengan sikap yang tidak mempedulikan sepenuhnya kesihatan atau keselamatan pekerja ini.
Sebagai ganti menggunakan jentera yang sesuai untuk membersihkan sisa buangan daripada saliran itu, dua pekerja itu melakukan kerja secara biasa dalam keadaan kotor dan busuk serta sebahagian badan ditenggelami oleh sisa yang busuk sehingga ke paras dada.
Ini jelas menunjukkan tiadanya kepekaan dan keprihatinan terhadap keselamatan, nyawa dan kesihatan mereka.
Malah mereka tidak disediakan dengan sebarang bentuk peralatan perlindungan diri bagi memastikan mereka selamat daripada potensi jangkitan daripada mikroorganisme berbahaya yang amat banyak yang biasanya ditemui dalam keadaan yang kotor seperti itu.
Sisa buangan itu juga turut dipenuhi dengan pelbagai pencemaran bukan organik seperti logam berat dan bahan kimia yang boleh menyebabkan masalah kesihatan dalam jangka panjang, di mana mereka juga tidak dilindungi terhadapnya.
Keadaan seperti itu juga sesuai bagi membebaskan gas toksik dan mudah terbakar seperti metana dan karbon dioksida oleh mikroorganisme melalui cara proses penghadaman anaerobik.
Tidak diragui lagi bahawa pekerja ini akan menyedut gas ini ketika bekerja memandangkan mereka tidak dilindungi oleh peralatan perlindungan pernafasan.
Prosedur kesihatan dan keselamatan pekerjaan paling asas tidak diawasi oleh kerajaan negeri.
Bagaimana majikan lain akan melayan pekerja mereka di Pulau Pinang apabila modal manusia merupakan nadi utama kita?
Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan negeri untuk menunjukkan kepada sektor pengeluaran dan pekerja lain bagaimana pekerja perlu dilayan dengan bermaruah dan mengamalkan serta mendukung amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan untuk mereka.
CAP menggesa kerajaan negeri melaksanakan nilai asas manusia dalam sikapnya terhadap pekerja mereka dan melaksanakan tugas mempromosikan keselamatan dan kesihatan pekerja.
Rakyat Pulau Pinang mahukan Pulau Pinang yang hijau dan bersih tetapi bukan dengan membelakangkan kesihatan dan keselamatan pekerja kita.
SM MOHAMED IDRIS
Presiden
No comments:
Post a Comment