PULAU PINANG 7 Mei - Berang dengan tindakan kejam kerajaan negeri kepada peniaga Melayu di negeri ini, sekumpulan peniaga hari ini mengadakan perhimpunan secara aman berhampiran Masjid Simpang Enam di sini bagi melahirkan perasaan tidak puas hati mereka.
Selain membawa sepanduk mengutuk perbuatan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, enam peniaga yang menyertai perhimpunan itu turut membawa replika manusia yang diibaratkan seperti 'Guan Eng'.
Seorang daripada mereka kemudiannya 'menyebat' patung tersebut sebagai simbolik hukuman yang dikenakan terhadap ketua menteri itu terhadap tindakan yang dilakukan kepada peniaga Melayu.
"Hukuman orang yang membuat fitnah dan zalim kepada rakyat adalah sebat menurut hukum Islam.
"Mana janji-janji yang dia (Guan Eng) taburkan semasa pilihan raya lalu? Yang dilakukannya hanya penindasan dan kekejaman," kata lelaki tersebut sambil menyebat patung tersebut beberapa kali.
Pihak polis yang berada di kawasan tersebut kemudiannya menghampiri kumpulan berkenaan dan meminta mereka beredar kerana ia diadakan tanpa permit.
Kumpulan tersebut akur dan beredar dari kawasan itu hanya lima minit selepas ia dimulakan.
Sementara itu, wakil peniaga-peniaga Melayu itu, Ramli Ismail, 57, berkata, beliau dan beberapa kawannya sudah tidak mampu lagi menahan perasaan mereka apabila melihat tindakan Guan Eng yang secara berterusan menindas peniaga Melayu.
Beliau mendakwa, tindakan yang dilakukan Guan Eng juga telah memecahbelahkan rakyat di negeri ini sehingga timbulnya perasaan kurang senang rakyat terhadap kaum yang lain.
Katanya, perkara itu jika dibiarkan berterusan boleh mengganggu dan merosakkan keharmonian kaum yang terjalin sejak sekian lama di kalangan rakyat negeri ini.
"Dulu kami dapat hidup aman damai tanpa berlaku sebarang pertelingkahan tetapi ia semakin berubah sejak di bawah pemerintahan Guan Eng.
"Dia telah menjadikan isu roboh ini isu perkauman sehingga kehidupan kami tidak tenteram lagi," kata Ramli lagi.
No comments:
Post a Comment