Thursday, May 20, 2010

Guan Eng lepas tangan tuduh Perda punca berlaku banjir


PULAU PINANG 19 Mei - Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Azhar Ibrahim membidas sikap Ketua Menteri, Lim Guan Eng kerana menyalahkan badan tersebut berikutan banjir kilat yang berlaku di sebuah taman perumahan di Balik Pulau semalam.

Menurut Azhar, Guan Eng sepatutnya menghulurkan bantuan kepada penduduk terlibat dan bukannya menuduh pihak lain sebagai punca berlaku bencana tersebut.

Beliau menambah, arahan kerajaan negeri supaya Perda menghentikan projek berdekatan taman berkenaan sehingga sistem perparitan diperbaiki hanya akan merencatkan pembinaan rumah untuk rakyat termiskin.

"Bila dihentikan kerja pembinaan 216 buah kediaman kos rendah ini, bermakna ia menyusahkan rakyat untuk memiliki rumah mengikut jadual. Ini menunjukkan dia (Guan Eng) tidak prihatin dengan golongan miskin khususnya orang Melayu, ini kerajaan zalim yang menindas rakyat.

"Sepatutnya dia membantu rakyat dan memudahkan kerja-kerja Perda, sekarang ini dia menyusahkan rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Guan Eng bahawa projek perumahan Perda yang sedang dalam pembinaan berdekatan Taman Nelayan Kuala Sungai Pinang menjadi punca berlaku banjir kilat di kawasan perumahan itu semalam.

Sehubungan itu, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah mengeluarkan arahan supaya Perda memberhentikan kerja-kerja berkenaan sehingga sistem perparitan dibaiki.

MPPP mendakwa saiz sistem perparitan tersebut telah ditukar kepada yang lebih kecil oleh Perda.

Azhar menafikan sistem perparitan di tapak projek berkenaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Beliau berkata, banjir tersebut berlaku disebabkan projek milik Perda belum siap sepenuhnya.

"Taman ini terletak bersebelahan projek Perda yang masih dalam pembinaan, parit pun belum sempurna dan banyak sisa binaan serta sampah sarap.

"Kebetulan pula hujan lebat luar biasa, tidak mustahil boleh berlaku banjir," tegasnya.

Jelasnya, buat masa ini Perda masih meneruskan kerja-kerja pembinaan kerana belum menerima sebarang notis bertulis daripada MPPP.

habis.

No comments:

Post a Comment