Saturday, November 21, 2009

Polis nafi bersihkan nama kerajaan negeri PP dalam isu pemberian bantuan di tokong


PULAU PINANG: Polis Pulau Pinang hari Sabtu menafikan telah mengeluarkan kenyataan yang "membersihkan" nama kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung isu penyampaian bantuan kepada golongan fakir Islam di sebuah tokong Cina baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, SAC II Wan Abdullah Tunku Said berkata beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan seumpama itu kepada media semalam.

"Saya hanya menerangkan setakat ini polis telah mengambil keterangan daripada Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Exco Kerajaan Negeri Phee Boon Poh berhubung isu penyebaran Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) berkaitan penyampaian bantuan di tokong itu.

"Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang membersihkan nama kerajaan negeri daripada melakukan kesalahan berhubung isu tersebut," katanya dalam kenyataan ringkas yang dihantar melalui SMS kepada media di sini.

Beliau mengulas untuk menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini kononnya polis telah "membersihkan" nama kerajaan negeri.

Sementara itu di BUTTERWORTH kerajaan Negeri perlu mengemukakan bukti atau memberi penjelasan kepada orang ramai jika tidak terlibat dengan urusan pemberian bantuan kepada fakir miskin di sebuah tokong Cina baru-baru ini.

Pengerusi Biro Tugas-Tugas Khas Pergerakan Pemuda Umno Tasek Gelugor, Wan Shakizar Wan Mohd Noor berkata, Kerajaan Negeri atau Exco Kebajikan, Phee Boon Poh perlu tampil dan tidak berselindung dengan kenyataan yang mengelirukan.

Beliau berkata bagaimana Kerajaan Negeri boleh menafikan tidak terlibat sedangkan pihaknya mendapati surat jemputan kepada penerima bantuan menggunakan kapala surat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Menurutnya, surat itu juga menyebut sesiapa yang mempunyai masalah boleh menghubungi Phee Booh Poh untuk mendapat maklumat lanjut.

"JKM adalah sebuah agensi kerajaan dan pegawainya hanya menjalankan tugas dengan arahan Kerajaan Negeri. Saya yakin mereka tidak akan bertindak mengikut sesuka hati.

"Atau mungkin Kerajaan Negeri menganggap JKM adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Janganlah cuba mengelirukan orang ramai di sebalik agenda tertentu," katanya kepada media di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Boon Poh yang menyebut Kerajaan Negeri tidak terlibat dengan urusan pemberian bantuan itu sebaliknya dikendalikan oleh Pertubuhan Penganut Dewa Ling Hean Kong Hwa Kong Tai Te.

Wan Shakizar berkata kejadian itu bukanlah kali pertama berlaku di daerah SPU tetapi beberapa kali termasuk di Jalan Raja Uda.

"Kami kesal kerana mereka tidak pernah mengambil kira sensitiviti umat Islam dengan mengadakan pemberian sumbangan di tokong.

"Pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu tidak pernah berbuat demikian. Jika ada penerima bantuan terdiri daripada orang bukan Islam, majlis akan diadakan di dewan orang ramai dan bukan di surau," katanya.

Menurutnya, ramai penerima bantuan yang terdiri daripada orang Melayu melahirkan rasa kesal dengan kejadian itu dan menganggap mereka terpedaya kerana Kerajaan Negeri menggunakan kapela surat JKM SPU.

"Berdasarkan maklumat, penerima terpaksa menunggu dari jam 9 pagi hingga 1 petang sebelum dapat bantuan kerana menunggu ketibaan Boon Poh.

"Mereka rasa tertipu kerana setelah menunggu lebih empat jam tetapi hanya menerima wang tunai RM10 dan sekampit beras," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta penerima bantuan JKM atau pertubuhan lain agar merujuk dengan pemimpin tempatan terlebih dahulu untuk mendapat kepastian dan mengelak daripada tertipu. BERNAMA

No comments:

Post a Comment