GEORGETOWN - Disuruh berpindah tetapi ‘pampasan’ yang ditawarkan membebankan. Itulah keluhan pemilik rumah di Kebun Bunga, di sini yang bakal dirobohkan Kerajaan Negeri pada bila-bila masa, Abdul Najib Darus.
Abdul Najib berkata, meskipun Kerajaan Negeri mengetahui keadaan kewangan keluarganya amat lemah ditambah dengan tanggungan seorang anak kelainan upaya (OKU) yang memerlukan belanja tinggi, pihak berkenaan masih tergamak menawarkan keluarganya ‘pampasan’ yang membebankan.
“Saya dikehendaki membayar sejumlah wang yang banyak untuk menduduki rumah Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang ditawarkan,” katanya.
Abdul Najib berkata, dalam surat tawaran penyewaan rumah oleh MPPP bertarikh 27 Oktober2009, keluarga Najib hanya layak menduduki rumah sewa di Jalan Kampong Kolam, Air Hitam selama tiga tahun sahaja dengan sewaan sebanyak RM240 sebulan.
“Untuk memasuki rumah itu, saya terpaksa membayar deposit sewa rumah tiga bulan berjumlah RM720, deposit air dan elektrik (RM150), deposit kunci (RM100) dan deposit penyelenggaraan (RM50). Ini amat membebankan sedangkan Kerajaan Negeri sedia maklum pendapatan isi rumah saya tidak sampai RM800 sebulan termasuk pendapatan anak saya.
“Diskaun 50 peratus pembayaran sewa rumah baru yang kononnya akan diberikan Kerajaan Negeri kepada keluarga saya juga tidak dinyatakan dalam surat tawaran itu. Bagaimana saya hendak percaya tawaran Kerajaan Negeri sekiranya hanya memberikan janji secara lisan semata-mata?,”katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini.
Abdul Najib berkata, satu jawatankuasa khas bertindak terdiri daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan bagi mempertahankan rumahnya daripada dirobohkan Kerajaan Negeri sehingga tawaran penyelesaian terbaik dicapai.
Menurutnya, wakil jawatankuasa itu juga telah menghubungi Pengerusi Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Abul Kassim untuk mencari penyelesaian terbaik mengenai isu ini.
“YB Malik (Abul Kassim) berjanji akan melanjutkan tempoh perobohan rumah saya sehingga Hari Raya Aidiladha dan berbincang semula dengan kami bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik.
“Bagaimanapun, kami menuntut Kerajaan Negeri memberikan jaminan secara hitam putih dan bukan secara lisan semata-mata memandangkan kami tidak mahu diperdayakan oleh Kerajaan Negeri dengan jaminan ‘palsu’,”katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Anak Jati Melayu Negeri Pulau Pinang (Pajim), Yusoff Mohd mendakwa, orang Melayu di negeri ini berasa semakin dipinggirkan oleh Kerajaan Negeri dan banyak premis perniagaan milik anak jati Melayu negeri ini diancam akan dirobohkan oleh MPPP.
Menurutnya, Pajim menggesa Kerajaan Negeri mengutamakan kebajikan anak jati Pulau Pinang seperti keluarga Abdul Najib dan menuntut Ketua Menteri, Lim Guan Eng agar memberikan hak kesamarataan kepada semua tanpa membezakan bangsa dan agama.
“Dalam isu Kampung Buah Pala, Kerajaan Negeri begitu mengambil perhatian terhadap penduduk kampung sehingga mereka akhirnya diberikan pampasan mewah berupa rumah teres dua tingkat di atas tanah yang sama.
“Jadi, mengapa dalam isu keluarga Abdul Najib, Kerajaan Negeri tidak boleh memberikan tawaran penyelesaian yang sama kepadanya? Tambahan pula keluarga Abdul Najib merupakan anak jati negeri ini dan bapanya pernah berjasa kepada Kerajaan Negeri sebelum ini?,”katanya.
Sehubungan itu, Yusoff menggesa masyarakat Melayu di negeri ini agar sedar dan bersama-sama memperjuangkan nasib Melayu di negeri ini, bermula dengan mempertahankan rumah Abdul Najib daripada dirobohkan.
“Mungkin dengan cara ini sahaja, barulah Kerajaan Negeri buka mata dan menyedari orang Melayu bukan hanya sekadar pelengkap komuniti di negeri ini,”katanya.
Sah! Kes Najib Razak Cacat
-
Pengakuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berpotensi membuka mata
ramai.Beliau menyatakan bahawa pendakwaan terhadap beberapa kes susulan PRU
2018 a...
1 day ago
No comments:
Post a Comment