Wednesday, March 3, 2010

Tindakan tee beng berani - UMNO PP



PULAU PINANG 2 Mac - Badan Perhubungan UMNO negeri menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai berani.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, langkah tersebut juga jelas menunjukkan ketegasan dan prinsip Tee Beng untuk tidak berkompromi dengan perjuangan PKR yang semakin tersasar.

Jelasnya lagi, pada pilihan raya umum lalu, Tee Beng menang di Nibong Tebal atas tiket PKR, maka adalah wajar tindakan 'angkat kaki' itu jika merasakan parti berkenaan tidak lagi berjuang demi rakyat.

''Kita juga percaya, pengikut dia (Tee Beng) juga menyokong tindakannya dan kita berharap lebih ramai lagi ahli pakatan pembangkang yang berani macam Tee Beng," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Tee Beng mengumumkan keluar dari PKR dan meletakan semua jawatan dalam parti serta memilih menjadi wakil rakyat Bebas berkuat kuasa serta-merta kerana kecewa dengan kerenah kepimpinan tertinggi parti itu.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin yang juga Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan keputusan Tee Beng untuk menjadi wakil rakyat Bebas sekali gus memudahkan kerjasama antara mereka.

Zainal Abidin yang tewas kepada Tee Beng pada pilihan raya umum lalu turut menasihatkannya supaya tidak mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat walaupun telah menjadi wakil rakyat bebas.

''Kita bersedia menjalinkan kerjasama dengan dia, mungkin sebelum ini agak sukar direalisasikan, namun status wakil rakyat bebas yang dipegang diharap mampu membuka lebih banyak ruang bagi tujuan itu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment