Wednesday, March 3, 2010

Giliran Tee Beng keluar PKR


Tan Tee Beng menunjukkan salinan kenyataan media yang menggariskan sebab-sebab beliau keluar daripada PKR di Kuala Lumpur, semalam. [ Berita di muka 3 ] – utusan/HAFIZH KHOSMAT


KUALA LUMPUR 1 Mac – Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa serta-merta kerana kecewa dengan kerenah kepimpinan tertinggi parti itu.

Tee Beng yang membaca kenyataan lima muka surat pada sidang akhbar di sini menyenaraikan empat alasan kenapa beliau keluar PKR dan meletakkan semua jawatan dalam parti itu serta memilih menjadi wakil rakyat Bebas yang tidak berpihak kepada mana-mana parti.

“Sebabnya ialah tiada saluran khusus di dalam PKR untuk mengemukakan masalah. Kritikan saya berkaitan masalah polisi yang serius telah dijawab dengan pembunuhan karakter yang menyebabkan kekecewaan mendalam kepada saya.

“Saya juga kesal dengan sikap kepimpinan PKR yang sanggup mengorbankan maruah dan prinsip parti hanya kerana mahu memastikan impian mereka ke Putrajaya tercapai termasuk mengambil sikap menutup mata dengan keangkuhan yang ditunjukkan oleh Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang),” katanya.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim yang keluar daripada parti itu dua minggu selepas melepaskan jawatannya pada 7 Januari lalu.

Tee Beng, 38, yang menyertai PKR pada Januari 2007 pernah memegang jawatan Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang pada 2002.

Tindakan itu menjadikan beliau ahli Parlimen kedua dari PKR yang menjadi wakil rakyat Bebas selepas Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim.

Malam tadi, bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin turut mengumumkan keluar PKR dan menyertai UMNO.

Dalam pada itu, Tee Beng berkata, sebab lain beliau keluar parti kerana tidak sanggup tunduk kepada sikap diktator dan cara kerja Guan Eng.

“Keangkuhan Guan Eng adalah sangat melampau sehingga melayan wakil rakyat PKR seperti anjing.

“Beliau suka mempolitikkan isu-isu remeh dan langsung tidak boleh menerima teguran dan kritikan serta cuba menjadikan kerajaan Pulau Pinang sebagai kerajaan milik keluarganya,’’ ujar beliau.

Sebab keempat kata beliau, ialah bagi membolehkannya mengambil tindakan undang-undang terhadap Guan Eng; Ali Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy yang telah menuduh beliau mencampuri urusan tender terbuka di negeri itu.

Pada sidang akhbar itu, Tee Beng turut meluahkan kekesalan dengan sikap kepimpinan tertinggi PKR yang enggan menerima permohonan maaf beliau berikutan tindakannya mempertikaikan kedudukan Dr. Syed Husin Ali sebagai Timbalan Presiden parti itu.

“Mereka tidak menerima permohonan maaf ini dan nampaknya terdapat pihak tertentu dalam parti yang telah membuat keputusan supaya saya keluar dari PKR,’’ katanya.

Pada Rabu lalu, beliau menghadap Lembaga Disiplin PKR berhubung kenyataannya yang mengecam Guan Eng dan kritikannya terhadap Syed Husin.

Selepas dua jam menghadap lembaga itu, beliau akhirnya bersetuju memohon maaf kepada Timbalan Presiden berkenaan, namun enggan meminta maaf kepada Guan Eng.

Tambah Tee Beng, beliau berharap kerajaan Pusat terus menyalurkan peruntukan pembangunan di kawasan Nibong Tebal bagi membolehkan beliau menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen secara berkesan.

No comments:

Post a Comment