Wednesday, March 3, 2010

Datuk Musa hargai jasa veteran UMNO


MUSA Sheikh Fadzir (dua dari kiri) beramah mesra bersama sebahagian daripada penerima kunci rumah selepas majlis Penyerahan Bantuan Rumah di Bukit Mertajam Pulau Pinang kelmarin.












BUKIT MERTAJAM 1 Mac – Jasa dan pengalaman para veteran UMNO boleh dijadikan penyuntik semangat kepada generasi muda untuk meneruskan perjuangan parti.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, apa yang dimiliki golongan tersebut boleh dicurahkan dan dijadikan pedoman oleh ahli-ahli baru

“Banyak ilmu dan pengetahuan yang boleh ditimba generasi baru daripada golongan veteran ini, jadi kehadiran mereka seharusnya digunakan sebaik mungkin.

“Malah pengalaman yang dimiliki mereka dalam parti seharusnya menjadi pedoman agar UMNO terus relevan sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan program bantuan rumah (PBR) dan sumbangan veteran UMNO di sini semalam.

Pada majlis berkenaan, seramai 13 veteran UMNO dari beberapa kampung sekitar Bukit Mertajam menerima sumbangan dan sijil penghargaan.

Pada majlis sama, seramai 55 orang penduduk miskin tegar menerima sijil dan kunci rumah PBR yang dibina oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Musa menambah, UMNO memerlukan nasihat orang-orang lama ini kerana mereka pastinya memahami susur galur perjuangan parti dan cabaran yang dihadapi masa kini.

Malah jelasnya, jasa dan pengorbanan veteran UMNO ini sentiasa dihargai dan disanjungi melalui sumbangan yang dihulurkan terutama sepanjang program Juara Rakyat yang dilancarkan baru-baru ini.

Seorang veteran UMNO, Zubaidah @ Baidah Md. Salleh, 75, melahirkan rasa terharu dengan penghargaan yang diberikan UMNO Bukit Mertajam kepada orang sepertinya.

“Banyak ilmu yang boleh dikongsi bersama generasi muda UMNO agar memperkukuhkan parti dan mampu mendepani cabaran pembangkang.

“Kami sedia mencurahkan bakti kepada UMNO agar mampu merampas kembali Pulau Pinang dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment