GEORGETOWN - Sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) keluar dari Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam setelah tidak berpuas hati dengan tindakan Timbalan Speaker, Tan Hock Leong mengarahkan Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim keluar dari DUN dan menggantungnya sehingga jam 5 petang semalam.
Azhar berkata, tindakan Timbalan Speaker yang mengarahkannya keluar dewan kerana mengeluarkan kenyataan ‘Melayu dua tiga kerat’ yang kononnya menghiris perasaan beberapa pemimpin Melayu Pakatan Rakyat (PR) sebenarnya bertujuan menyekat beliau daripada meneruskan ucapan dan mendedahkan satu persatu kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Menurutnya, kenyataan ‘Melayu dua tiga kerat’ yang digunakan dalam ucapannya adalah merujuk kepada bilangan yang kecil memandangkan bilangan pemimpin Melayu PR amat sedikit dan beliau kecewa dengan tindakan Timbalan Speaker yang menunjukkan sikap tidak profesional apabila mengarahkan Ketua Pembangkang keluar dari sidang DUN.
“Saya kesal dan kecewa dengan tindakan Timbalan Speaker yang mengarahkan saya keluar dewan dan ianya jelas menunjukkan mereka cuba menyekat saya terus berucap, mungkin kerana tidak tahan dengan kenyataan pedas saya mendedahkan keburukan mereka.
“Sekiranya saya dihalau kerana tidak menggunakan perkataan yang sepatutnya dalam sidang ini, mengapa Timbalan Speaker tidak mengambil tindakan ke atas ADUN PR yang menggunakan perkataan kesat ke atas saya seperti perkataan lanun, penyamun, perompak dan kurang ajar yang memberikan pengertian yang lebih jelas berbanding perkataan ‘dua tiga kerat’?” katanya kepada pemberita sejurus selepas keluar dari sidang DUN bersama sembilan ADUN BN yang lain.
Azhar yang juga ADUN Penaga berkata, beliau tetap mempertahankan tindakannya enggan menarik balik kenyataan beliau sebelum ini dan membidas pemimpin Melayu PR yang disifatkannya sebagai ‘makan gaji buta’ semata-mata.
Beliau juga turut menafikan dakwaan beberapa ADUN PR menuduh beliau menunjukkan punggung ke arah mereka sebagai tanda protes dan menegaskan ADUN PR dan Kerajaan Negeri sememangnya mengamalkan sifat tuduh-menuduh ke atas BN sejak dahulu lagi bagi menutup ‘pekung’ mereka sendiri.
“Kerajaan Negeri dan ADUN PR memang amal perangai tuduh-menuduh dan guna perkataan kesat terhadap pemimpin BN sejak dahulu lagi sehinggakan menuduh saya menunjukkan punggung ke arah mereka.
“Berkenaan kenyataan saya, sememangnya beberapa ‘kerat’ pemimpin Melayu dalam Kerajaan Negeri pimpinan PR yang tidak pernah buat apa-apa terhadap orang Melayu di negeri ini dan hanya duduk diam di pejabat dan makan gaji buta semata-mata. Justeru, tidak hairan kalau ada orang panas punggung dan menggunakan kuasa Speaker untuk menghalau saya,”katanya.
Beliau juga berkata, UMNO sahaja yang berikhtiar membela nasib orang Melayu negeri ini.
Sah! Kes Najib Razak Cacat
-
Pengakuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berpotensi membuka mata
ramai.Beliau menyatakan bahawa pendakwaan terhadap beberapa kes susulan PRU
2018 a...
2 days ago
No comments:
Post a Comment