Monday, December 7, 2009

Kes SMS Adun perlu dikenakan akta hasutan


GEORGETOWN - Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan berhubung penyebaran sistem pesanan ringkas (SMS) oleh ADUN Sungai Pinang, Koid Teng Guan empat hari lalu.

ADUN Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin berkata, polis perlu mengambil tindakan segera menyiasat kes itu setelah ada pihak yang membuat laporan mengenainya.

Beliau berkata, perkara itu tidak boleh dipandangkan ringan kerana ia boleh mencetuskan masalah lain dalam masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Mesej yang dihantar jelas cuba menghasut orang ramai. Oleh itu, polis perlu siasat kes ini mengikut Akta Hasutan.

“Siasatlah isu ini dengan segera untuk mengelakkan kejadian serupa berulang lagi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri taklimat isu semasa di Menara UMNO di sini, semalam.

Roslan diminta mengulas tindakan Teng Guan yang mengaku menyebar SMS dalam bahasa Cina yang diterimanya kepada penerima lain yang meminta penduduk Pulau Pinang “menghantar ahli Gerakan, MCA dan UMNO ke neraka dan bersembahyang untuk mereka pada sambutan hari roh Qing Ming”.

Walaupun sudah meminta maaf, banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan tingkah lakunya itu yang difahamkan melibatkan penyebaran kira-kira 400 SMS ketika berlangsung persidangan DUN.

Roslan berkata, tindakannya itu amat memalukan kerana sebagai seorang wakil rakyat yang diberi tanggungjawab dan amanah untuk menunjukkan contoh terbaik gagal mempamerkannya sebaliknya mencemarkan nama institusi itu sendiri.

Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) perlu mengambil tindakan terhadapnya. Inilah nilai wakil rakyat yang kononnya mengamalkan CAT,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah menjadi kerajaan, wakil rakyat PR bertindak seperti pembangkang dan tidak tahu peranan mereka sebagai kerajaan.

Beliau juga kesal dengan tindakan Speaker DUN yang tidak bersikap adil dengan pembangkang dan terus mengambil tindakan menggantung Ketua Pembangkang walaupun ia hanya melibatkan isu kecil atau remeh.

Saya mempunyai pengalaman ketika pemerintahan BN dan PR. Speaker dahulu lebih banyak menggunakan budi bicara dan tidak pernah menggantung wakil DAP walaupun bersuara lantang dan begitu menyakitkan hati. Tetapi sekarang keadaannya berbeza.

“Isu dua tiga kerat pun dianggap menyakitkan hati atau menghina orang lain. Itulah masalahnya kalau Timbalan Speaker tidak begitu memahami Bahasa Melayu serta menganggap dirinya sentiasa betul dan mempunyai kuasa mutlak,” katanya.

No comments:

Post a Comment