Ia ekoran Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim (gambar) sekali lagi digantung berikutan keengganannya meminta maaf kepada Sim Tze Tzin (PKR-Pantai Jerejak) yang mendakwa Azhar menunjukkan punggung kepadanya ketika diarahkan keluar dewan petang semalam.
Semuanya bermula apabila Tze Tzim yang mengambil bahagian perbahasan Bajet 2010 pada pukul 9.45 pagi membangkitkan isu itu yang kemudian mendapat perhatian Speaker DUN, Datuk Abdul Halim Hussain.
Abdul Halim mengarahkan Azhar supaya memohon maaf kerana perbuatan itu seolah-olah menghina Tze Tzim selain mempelawa Azhar menonton kembali tayangan video kejadian terbabit namun enggan dituruti Azhar.
Halim kemudian mengumumkan Azhar digantung sehingga selesai persidangan mesyuarat ketiga penggal kedua DUN Pulau Pinang ke-12 itu yang menyaksikan semua ADUN BN turut keluar dari dewan.
Azhar yang ditemui media berkata, tindakan menggantungnya itu adalah satu konspirasi untuk tidak membenarkan beliau berhujah selain menutup mulut beliau pada sidang DUN itu.
“Selama 20 tahun saya jadi wakil rakyat, saya tak habis-habis diserang namun tindakan menghalang saya berhujah ini satu tindakan melampau.
“Ini membuktikan wakil rakyat pakatan pembangkang ini tak bermaruah, tidak beretika dan tak sanggup terima kritikan yang menunjukkan pentadbiran mereka lemah,” katanya.
Petang semalam, Azhar digantung selama sejam apabila Timbalan Speaker, Tan Hock Leong mengarahkannya keluar kerana enggan menarik balik perkataan ‘dua tiga kerat’ wakil rakyat pakatan pembangkang yang tidak membela nasib orang Melayu di sini.
Mengenai dakwaan ‘tunjuk punggung’ itu, Azhar menjelaskan beliau hanya menunduk untuk mengambil begnya di bawah meja.
No comments:
Post a Comment