|
|
PULAU PINANG 15 Julai - Kira-kira 10 peniaga kecil Melayu di Tapak Penjaja Jalan Lim Khoon Huat di sini mungkin terpaksa gulung tikar berikutan bekalan air ke premis mereka dipotong oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBA) sejak tiga minggu lalu.
Lebih dikesalkan, tindakan tersebut dilakukan tanpa sebarang notis terlebih dahulu oleh anak syarikat kerajaan negeri itu.
Apabila penjaja mengadu masalah berkenaan kepada PBA, kakitangannya sendiri tidak dapat memberikan jawapan yang sepatutnya kerana ia dilakukan atas arahan pihak atasan.
Peniaga gerai makanan, Rohana Wajiyah, 44, berkata, masalah tersebut menyebabkan dia dan penjaja-penjaja lain tidak dapat meneruskan perniagaan masing-masing.
Dia sendiri tertanya-tanya tindakan PBA tersebut kerana sejak berniaga di situ tujuh tahun lalu, ini merupakan pertama kali masalah seumpama itu berlaku.
"Saya percaya kakitangan PBA datang membuka meter air semasa kami tidak berniaga, iaitu hari Jumaat.
"Oleh kerana tiada notis diberikan terlebih dahulu, saya terpaksa membuang begitu saja bahan-bahan mentah yang sudah dibeli kerana tidak dapat memasak," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Difahamkan, bekalan air dan elektrik ke premis tersebut disediakan secara percuma oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sejak mula dibuka hampir sepuluh tahun lalu.
Menurut Rohana, dia juga mendapat tahu daripada PBA bahawa MPPP juga tidak mempunyai sebarang tunggakan bil air.
Katanya, tanpa bekalan air, dia tidak dapat meneruskan perniagaan.
Bagaimanapun, dia merasakan dirinya bernasib baik kerana suaminya bekerja makan gaji.
"Kalau suami saya tidak bekerja, mungkin saya sekeluarga terpaksa hidup merempat selepas ini.
"Namun, peniaga lain yang tiada punca pendapatan lain, mereka mungkin lebih menderita," ujarnya.
Rohana juga berharap MPPP dapat membina kemudahan asas seperti tandas dan surau di situ untuk kegunaan peniaga serta pelanggan.
No comments:
Post a Comment