Wednesday, July 21, 2010

Kerajaan PP jangan anak tirikan penduduk Kg Pokok Asam


PULAU PINANG 19 Julai - Kerajaan negeri digesa tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam menangani masalah penduduk Kampung Jalan Pokok Asam dan memberi pampasan setimpal sekurang-kurangnya seperti ditawarkan kepada penduduk Kampung Buah Pala.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya percaya rakyat Pulau Pinang juga mahu melihat penduduk Kampung Jalan Pokok Asam yang rata-ratanya golongan nelayan mendapat pembelaan sewajarnya.

Menurutnya, tawaran yang diterima penduduk Kampung Buah Pala iaitu rumah teres dua tingkat disifatkan sebagai pampasan paling lumayan pernah diberi pemaju dalam sejarah negeri ini.

''Kita lihat ada keadilan di situ. Jadi kita nak lihat kerajaan negeri bersungguh-sungguh selesaikan masalah penduduk Kampung Pokok Asam sekurang-kurangnya setimpal dengan apa yang diperolehi penduduk Kampung Buah Pala.

''Jangan mereka ini dianaktirikan oleh kerajaan negeri," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas masalah yang dihadapi penduduk Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong di sini hari ini.

Pada 30 Jun lalu, kira-kira 200 penduduk di Kampung Jalan Pokok Asam hampir diusir pemaju yang membawa bersama jentolak.

Bagaimanapun, selepas perbincangan diadakan bersama beberapa penduduk dengan pihak pemaju yang diwakili oleh seorang peguam, tempoh pengosongan ditangguhkan.

Pada 13 Julai lalu, Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 1 Oktober ini untuk mendengar sebutan kes rayuan penduduk untuk menangguhkan arahan pengosongan dan perobohan rumah mereka oleh pemaju.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai kuasa menyelesaikan masalah penduduk kampung itu dan yang boleh berbuat demikian adalah kerajaan negeri ini.

Jelasnya, kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang DAP-PKR-Pas sepatutnya mengambil kira nasib penduduk di situ sebelum meluluskan pelan yang dikemukakan pihak pemaju seperti dilakukan kerajaan BN sebelum ini.

Katanya, pelan tempat itu telah dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) semasa zaman BN dahulu dan syarat yang diberikan adalah pemaju perlu menyelesaikan masalah penduduk di situ jika tidak mahu pelan itu tergantung.

Bagaimanapun agak mengecewakan dalam perkara itu apabila seorang Ahli MPPP yang juga qariah masjid di situ dan ahli Pas tidak membuat bantahan berhubung perkara itu.

''Inilah Pas, tak berani nak buka mulut walaupun mangsanya ialah orang Melayu dan Islam, sekarang nak bincang dah tak guna, apa Lim Guan Eng cakap semua ikut, Timbalan Ketua Menteri dan Exco Melayu pun sama," katanya.

No comments:

Post a Comment