Friday, April 9, 2010
Kerajaan PP tetap benarkan pembinaan kuil di Taman Pantai Intan
BUTTERWORTH - Kegelisahan penduduk sekitar Taman Pantai Intan, dekat sini, berikutan cadangan pembinaan sebuah kuil di kawasan kejiranan mereka yang didakwa tidak mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mendapat perhatian Timbalan Ketua Menteri 2, P Ramasamy.
Beliau yang turun padang lewat petang, semalam, terpaksa campur tangan dalam kes bantahan secara aman oleh penduduk yang diadakan Selasa lalu itu bagi meredakan keadaan.
Menurutnya, pembinaan kuil itu mendapat restu kepimpinan tertinggi negeri yang berasakan kuil sementara yang kini berada di Taman Bintang, perlu diubah lokasinya berikutan kawasan itu sesak dengan penduduk.
“Kita telah menghantar permohonan kepada MPSP untuk membina bangunan di atas tanah milik kerajaan.
“Kita akan menuruti semua prosedur yang ditetapkan tanpa membelakangkan kebajikan dan keselesaan penduduk tetapi dalam masa sama berharap penduduk akan dapat memahami kedudukan kita yang ingin memberikan keselesaan kepada pihak lain juga,” katanya.
Menurutnya, sepatutnya penduduk yang membuat bantahan itu menerima bahawa tindakan Kerajaan Negeri memberikan tapak baru kepada jawatankuasa kuil berkenaan adalah sebagai satu alternatif selepas mereka diarah berpindah sebaik Projek Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dimulakan beberapa tahun lalu.
“Kita mengambil kira yang kuil ini dahulunya terletak di kawasan ini, tetapi dibina sementara di Taman Bintang kerana ketiadaan tapak yang sesuai pada masa itu selepas mereka diarah berpindah.
“Kini selepas Kerajaan Negeri mengenal pasti tapak yang sesuai, kuil itu akan dibina secara tetap di sini,” katanya.
Lawatan selama hampir sejam ke lokasi pembinaan kuil itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Bagan Dalam, A Tanasekharan dan ADUN Bagan Jermal, Lim Hock Seng.
Menurutnya, pihaknya akan memantau dan mengambil langkah mengatasi keluhan penduduk seperti kesesakan lalu lintas dan kebisingan.
Selasa lalu, lebih 500 penduduk mengadakan demonstrasi aman membantah pembinaan kuil di tapak yang dulunya pernah menjadi medan selera berikutan ragu tentang kelulusan pembinaannya kerana tanah itu adalah milik kerajaan.
sinar harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment