ni bab Kawan kena puji habis Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng walaupun Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil angin betoi bila diminta ulas mengenainya.
Memang hebat otak anak orang kuat DAP Lim Kit Siang ni.
Sebabnya tak payah pakai modal besar. RM8.33 sebulan saja dah boleh buat satu Penang riuh dok cakap bab tu.
Kawan sendiri asalnya ingat ini bab kecik saja…sapalah nak ambil pot sangat RM100 setahun bahagi 12 bulan jatuh RM8.33 saja sebulan.
Itulah jumlah wang Program Penghargaan Warga Emas yang dah mula dibagi oleh kerajaan negeri Pulau Pinang pada yang berusia 60 tahun keatas di negeri itu.
Masa balik kampong di Penang hujung minggu lepas,seorang kawan lama bisik tanya Kawan tak sedar ke ramai anak pinak saudara mara cucu cicit warga emas yang layak dapat RM100 setahun tu bukan main punya seronok dok bercerita bab tu.
“ Hang tau dak ada anak yang sibuk nak mengatur mak atau pak depa macam mana nak pi ambik duit tu macam dapat durian runtuh beribu ringgit,” katanya.
Kawan check dengan beberapa orang kawan lain.Itu juga feedback yang dapat.Benda ni jadi meriah tak tentu pasal.
“Depa boleh lupa kerajaan pusat dok buat macam-macam tolong orang miskin,bagi biasiswa kat anak-anak,bantuan Jabatan Kebajikan….semua dok syok semacam dengan RM100 setahun tu.
“Hang jangan dok cerita bab Jambatan Pulau Pinang yang kerajaan buat ke,beratus kilang yang kerajaan BN dulu bawa masuk bagi kerja berpuluh ribu orang di Penang atau apa ke….depa dok tengah terbeliak biji mata kat RM100 tu,” kata seorang kawan.
Kawan kita yang geram sangat tu garu kepala punya heran.
“RM8...apa yang anak beranak tu dok riuh sangat pasal tu macam depa sendiri tak boleh hulur sikit tu pun sebulan kat emak bapa depa yang dah tua ,”katanya.
Nak percaya ke tak percaya tapi ini kisah benar.
Kalau setakat cakap orang belum tentu boleh pakai tapi Kawan tengok seorang saudara sendiri yang syok dok tayang surat dia dapat duit tu.
Sorry Kak Jat…Kawan tau kementerian Kak Jat dan kementerian-kementerian lain memang banyak dok tolong orang segala macam tapi nak buat macam mana Guan Eng lagi terror ‘ mencelah’.
Pakai RM8.33 sebulan bayang wajah Datuk Najib dan Kak Jat pun depa dah jadi pening lalat berpinau tak berapa nak ingat.
Ramai kawan-kawan cukup setuju dengan apa yang Kak Jat kata pada orang suratkhabar di Seremban Selasa bila depa tanya pasal pemberian RM 100 setahun kerajaan Pulau Pinang pada warga emas tu.
"Saya rasa malu bila terbaca Guan Eng beri RM100 setahun kepada warga emas. Kalau nak dikira tak sampai RM10 sebulan. Pemberian itu kononnya sebagai pernyataan penghargaan. Sebagai menteri yang menjaga kebajikan saya rasa malu.
"Saya nak tawarkan ucapan takziah kepada warga emas di Pulau Pinang kerana nilai mereka kepada kerajaan Pakatan Rakyat hanya kurang daripada RM10 sebulan. Itulah dia nilai warga emas di Pulau Pinang," begitulah bunyi cakap Kak Jat.
Nak buat macam mana Kak Jat…ini dunia punya hal.
.
Semasa majlis penyampaian program penghargaan warga emas tu pada 300 penerima pertama pada 21 Mac lalu Guan Eng kata sagu hati RM100 bukan rasuah seperti yang didakwa oleh BN.
Ikut cakapnya walaupun sumbangan itu kecil tetapi ia adalah sebagai hadiah kepada sumbangan dan pengorbanan warga emas selama ini.
"Satu penghargaan yang tinggi perlu diletakkan kepada golongan terpilih ini atas pengorbanan, kemahiran, kepakaran dan pengalaman yang mereka curahkan," katanya.
Hebat betoi dia punya angkat orang tua-tua tu semua.
Setakat ini 82,983 warga emas mendaftar dalam program itu yang meliputi 53% di bahagian pulau dan 47 peratus di Seberang Perai. Ada lagi 20,000 warga emas dijangka mendaftar lepas ini.
Wah, nampak gaya Guan Eng dah berangan lebih jauh bukan setakat orang Penang saja.
Ini bab politik.Nak salahkan dia pun tak boleh kalau dah nampak bagi RM 100 setahun pun ada impak besar.
Makanya tak heran lah Guan Eng sudah berani buka janji baru …nak bagi RM1,000 setahun pulak kepada warga emas di seluruh negara kalau pakatan pembangkang berjaya tawan Putrajaya masa pilihanraya umum ke 13.
Macam mana tu Kak Jat…kalau RM8.33 sebulan dah riuh…ini kan pula RM83.33
Nampak gaya pi mai pi mai korner kot mana pun DAP juga iktiraf duit umpan paling mujarab
sumber : agendadaily
No comments:
Post a Comment