Thursday, April 21, 2011

Pemuda UMNO Permatang Pauh bantu mangsa kebakaran di Kg Pelet




BUKIT MERTAJAM 20 April - Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib seorang warga emas, Mohd. Roadhi Ishak, 58, yang ditimpa dua kejadian malang dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Dua minggu lepas, isterinya, Che Mah Awang, 52, yang sebelum ini membantunya berniaga menjual pisang goreng, tiba-tiba jatuh sakit akibat serangan jantung.

Ketika sibuk berulang alik menjaga Che Mah di hospital, ketabahan Mohd. Roadhi sekali lagi diuji apabila rumahnya di Kampung Pelet di sini musnah dalam kebakaran Isnin lalu, mengakibatkan dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Menurut Mohd. Roadhi, Che Mah menghidap penyakit jantung dan darah tinggi sejak beberapa tahun lalu tetapi keadaan kesihatannya semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

"Sementara isteri nak pulih, saya berhenti berniaga dulu untuk menjaganya. Entah bagaimana, rumah kami pula terbakar ketika kami sedang melawatnya di hospital.

"Saya terima segala ujian ini dengan hati yang ikhlas dan reda terhadap ketentuan Ilahi. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini," katanya ketika menerima kunjungan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said, di sini hari ini.

Mohd. Roadhi memberitahu, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, rumah pusaka milik keluarganya yang sudah berusia lebih 50 tahun musnah sama sekali dipercayai akibat litar pintas.

Katanya, ketika ini, dia menyewa sebuah rumah di kampung yang sama bersama isteri dan tiga anaknya sementara menunggu permohonan mendapatkan bantuan kewangan bagi membina semula rumahnya.

Sementara itu, Mohd Zaidi  berkata, pihaknya akan menanggung kos rumah sewa keluarga malang itu sementara menunggu permohonan mendapatkan rumah baru.

"Saya difahamkan, perkara ini sudah diajukan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan kita harap bantuan sewajarnya dapat dihulurkan bagi membolehkan keluarga ini membina semula kehidupan mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment