PULAU PINANG 8 Ogos - Tindakan menghalang peniaga Bazar Ramadan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini berniaga sepanjang bulan puasa membuktikan kerajaan negeri di bawah pimpinan DAP memiliki sikap perkauman yang tebal.
Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO negeri, Aziaan Ariffin berkata, ia memperlihatkan kerajaan negeri mengamalkan budaya pilih kasih terhadap orang Melayu khususnya peniaga kecil.
Menurutnya, keputusan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Komtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik itu merupakan satu bentuk penganiayaan terhadap para peniaga Melayu.
"Ini jelas merupakan diskriminasi terhadap peniaga-peniaga Melayu. Setelah kerajaan negeri merobohkan gerai-gerai orang Melayu, kali ini mereka halang pula peniaga-peniaga Melayu untuk mencari rezeki.
"Ia memperlihatkan sikap pilih kasih pemimpin DAP dan menunjukkan sikap perkauman yang amat tebal," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mingguan Malaysia hari ini melaporkan, pihak pengurusan Komtar, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), iaitu sebuah agensi kerajaan negeri menghalang para peniaga Melayu daripada berniaga di Bazar Ramadan yang diwujudkan di tingkat tiga kompleks tersebut setiap kali Ramadan.
Kesemua 27 peniaga terbabit hanya dimaklumkan kelmarin tentang keputusan PDC itu sedangkan persiapan telah dibuat untuk mereka memulakan perniagaan semalam.
Aziaan memberitahu, Pemuda UMNO akan bertindak sewajarnya jika masalah para peniaga terbabit tidak diselesaikan.
"Pemuda UMNO Pulau Pinang akan bertindak lebih agresif jika masalah ini tidak diselesaikan segera," tegasnya.
No comments:
Post a Comment