Tuesday, December 7, 2010

Murid cemerlang UPSR diraikan Penyelaras DUN Prmtg Pasir



MOHD. Zaidi Mohd. Said beramah mesra bersama sebahagian murid yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang UPSR 2010 di Sekolah Kebangsaan Permatang Pauh, Pulau Pinang, kelmarin.











BUKIT MERTAJAM 6 Dis. - Seramai 38 murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir menerima penghargaan dalam satu majlis di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pauh, di sini semalam.

Mereka terdiri daripada murid di enam sekolah iaitu SK Bukit Indera Muda, SK Permatang Pasir, SK Permatang Pauh, Sekolah Rendah Islam Al- Masriyah, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kubang Semang dan SJKC Lay Keow.

Murid terbabit yang memperoleh 5A dalam peperiksaan itu menerima wang RM100 dan sijil penghargaan daripada Penyelaras DUN tersebut yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said.

Turut hadir, Pegawai Kanan Sekolah Rendah Pejabat Pelajaran Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Mohd. Nasir Ahmad.

Mohd. Zaidi berkata, murid terbabit diingatkan supaya tidak terlalu dibuai-buai dengan kecemerlangan tersebut, sebaliknya berusaha lebih kuat dalam mendepani cabaran di peringkat sekolah menengah.

"Anda (murid) akan berdepan fasa baru dalam hidup apabila melangkah di sekolah menengah kelak. Cabarannya adalah jauh lebih besar dan bukan mudah untuk mengekalkan reputasi sebagai pelajar cemerlang.

"Jangan kita alpa dengan kejayaan ini sehingga kita terkandas di peringkat seterusnya, belajarlah bersungguh-sungguh dan sentiasa bersedia untuk menjadi pelajar lebih baik dan cemerlang pada masa depan," katanya.

Mohd. Zaidi turut menekankan keperluan supaya ibu bapa sentiasa memberi sokongan bukan sahaja dari aspek material tetapi juga moral agar anak-anak mempunyai motivasi serta kesungguhan untuk mengecapi kecemerlangan dalam peperiksaan lebih besar.

Dalam hubungan ini, jelasnya, kerajaan sentiasa menyalurkan pelbagai bentuk bantuan serta kemudahan kepada pelajar supaya mereka dapat mengikuti suasana pembelajaran dengan lebih selesa.

"Kalau kita menoleh semula ke belakang, sudah banyak perubahan yang kita boleh lihat pada masa ini apabila anak-anak kita dapat menjalani suasana pembelajaran yang jauh lebih baik dengan pelbagai kemudahan yang disediakan.

"Adalah amat malang jika segala kemudahan ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya kerana kerajaan sentiasa mahu memastikan sistem pendidikan kita terus berkembang sejajar dengan pembangunan yang semakin pesat," katanya.

No comments:

Post a Comment